Saturday , 28 December 2024
Home Ekonomi Pasaran saham Malaysia dinaik taraf kepada wajaran tinggi
Ekonomi

Pasaran saham Malaysia dinaik taraf kepada wajaran tinggi

Pasaran saham Malaysia dinaik taraf kepada wajaran tinggi

PASARAN saham Malaysia dinaik taraf kepada wajaran tinggi. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Nomura Holdings Inc. menaik taraf pasaran saham Malaysia dan Indonesia kepada ‘wajaran tinggi’ daripada ‘neutral’, berikutan kedua-dua pasaran itu akan mendapat lebih banyak manfaat daripada pengurangan kadar faedah Amerika Syarikat (AS).

Penganalisis syarikat kewangan terkemuka dunia dari Jepun itu berkata, pelabur wajar mengurangkan pegangan saham di China dan meletakkan wang mereka di Malaysia dan Indonesia.

“Saranan ini dibuat selepas minat yang bertambah terhadap saham Malaysia dan Indonesia dalam kalangan pelabur asing dengan kedua-dua pasaran bersedia menyaksikan aliran masuk dana bagi bulan kedua berturut-turut.

“Pasaran saham China telah goyah dalam beberapa bulan kebelakangan ini, mengheret turun penanda aras MSCI sekitar 3.6 peratus sejak akhir Mei kerana pelabur bimbang terhadap ekonomi negara itu yang tidak menentu dan kesan berpanjangan daripada kemerosotan pasaran hartanah.

“Masanya juga telah tiba untuk menambah ke dalam pasaran ASEAN,” katanya dalam nota penyelidikan.

Nomura berkata, kekuatan pertumbuhan ekonomi Malaysia, pelaburan dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) dan peningkatan nilai ringgit menjadi penyebab utama penaiktarafan itu.

“Setakat ini, ringgit merupakan mata wang berprestasi terbaik di Asia selain Jepun, meningkat kira-kira lima peratus.

“Pasukan ekonomi Nomura juga menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun penuh 2024 melebihi konsensus sebanyak 5.2 peratus untuk Malaysia.

“Selain itu, ringgit juga semakin meningkat, didorong oleh kelemahan dolar AS yang lebih meluas,” katanya

Nomura mengesyorkan pelaburan dalam saham CIMB Group Holdings Bhd. , Gamuda Bhd. dan Pentamaster Corp Bhd.

Penilaian positif oleh Nomura itu menyusuli pengiktirafan sama oleh bank pelaburan terkemuka dunia lain baru-baru ini.

JP Morgan bulan lalu meningkatkan penarafan Malaysia kepada ‘neutral’ selepas hampir enam tahun mengekalkan pendiriannya pada tahap ‘di bawah wajaran’ susulan langkah berani kerajaan dalam membangunkan ekonomi.

Ketua JP Morgan Bagi Asia Pasifik (kecuali Jepun dan China), Rajiv Batra berkata, keputusan itu didorong beberapa faktor utama, termasuk dari segi pelaburan berpusatkan data, pembaharuan dasar, serta pembinaan infrastruktur.

“(Keadaan itu) buat kita lebih positif terhadap perkembangan negara dan lebih menarik lagi, apabila semua tanda-tanda itu dicatatkan pada tahun lalu,” katanya dalam satu wawancara bersama stesen televisyen CNBC. – UTUSAN

Related Articles

Pinjaman perniagaan dijangka meningkat 6.4% pada  2025
Ekonomi

Pinjaman perniagaan dijangka meningkat 6.4% pada  2025

GAMBAR HIASANPETALING JAYA: Pertumbuhan pinjaman perniagaan di Malaysia dijangka meningkat sebanyak 6.4...

Dividen ASB naik, bukti pemulihan ekonomi yang mapan
Ekonomi

Dividen ASB naik, bukti pemulihan ekonomi yang mapan

PEMANDANGAN dari udara bangunan Merdeka 118. PETALING JAYA: Pengagihan pendapatan sebanyak 5.75...

Bank Islam sasar RM28b pembiayaan mampan pada 2025
Ekonomi

Bank Islam sasar RM28b pembiayaan mampan pada 2025

MENARA Bank IslamPETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menetapkan sasaran...

Ekonomi

Integrasi sumber, kelebihan pacu pertumbuhan inklusif ASEAN

Dr. Zokhri IdrisKUALA LUMPUR, 26 Disember- ASEAN perlu mengintegrasikan sumber dan kelebihannya,...