Saturday , 21 December 2024
Home Politik (ANALISIS) Susun strategi tebus maruah UMNO
Politik

(ANALISIS) Susun strategi tebus maruah UMNO

(ANALISIS) Susun strategi tebus maruah UMNO

SEBAHAGIAN perwakilan mendengar ucapan dasar yang disampaikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR: Tiada siapa boleh menafikan aura Perhimpunan Agung UMNO 2024 (PAU 2024) kali ini dengan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos lalu.

Dari hari pertama sehingga hari terakhir persidangan, perwakilan tidak lesu dengan membawa cerita kemenangan bergaya UMNO dalam PRK tersebut.

Kejayaan itu sudah pasti memberi makna yang sangat besar kepada keluarga UMNO setelah enam tahun parti tersebut dihina sejak kekalahan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14. Manakan tidak, kemenangan ini telah menebus maruah UMNO selepas parti itu dilihat mungkin lenyap daripada dunia politik hari ini.

Bagi wakil rakyat baharu DUN Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri, PAU2024 seperti ‘hari raya’ untuknya kerana sosok tubuh beliau menjadi perhatian dan tidak lekang dengan ucapan tahniah daripada seluruh perwakilan UMNO termasuk kepimpinan tertinggi parti itu.

Dalam kemenangan ini, Pemuda UMNO merasakan sayap itu telah berjaya dari segi penyusunan strategi sekali gus mengubah persepsi masyarakat khususnya pengundi muda terhadap UMNO.

Ketuanya, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, jika sebelum ini ramai yang tidak mahu mengundi UMNO setelah tewas pada PRU-14, kali ini rakyat termasuk pengundi pengundi Pas ‘terpikat’ dengan kepimpinan Akmal di Nenggiri, maka UMNO perlu mencipta formula untuk ‘melahirkan’ 10 lagi Akmal supaya parti itu kekal relevan.

PAU 2024 kali ini juga menyaksikan penyusunan program yang lebih strategik dalam mencatur persediaan menghadapi PRU-16. Persidangan dimulakan dengan sesi PEN-TALK di mana tiga Naib Presiden UMNO dan Menteri Besar UMNO diberikan masa 10 minit untuk membentangkan laporan dan prestasi mengikut kementerian dan negeri yang dipegang bagi membuktikan pemimpin UMNO menggalas tanggungjawab di bawah Kerajaan Perpaduan dengan cemerlang.

Menggunakan konsep ‘TED Talk’ (teknologi, hiburan dan reka bentuk), program yang julung kali diadakan oleh Penerangan UMNO itu dilihat berjaya memberi pe­nerangan secara jelas kepada seluruh perwakilan UMNO, malah pameran mengenai kepimpinan kerajaan negeri ditadbir Barisan Nasional (BN) turut dipaparkan di ruang hadapan Dewan Merdeka.

Konsep baharu ini dilihat mungkin menelan belanja lebih tinggi berbanding PAU tahun lalu, namun sudah pasti pemim­pin UMNO mengharapkan kemenangan yang ‘berbaloi’ pada PRU-16 daripada segala kos yang telah dikeluarkan.

Secara dasar, PRU-16 akan diadakan dalam masa dua tahun lagi, namun UMNO telah mulai menyusun strategi untuk kembali dominan dan bukan hanya sebagai parti pelengkap kepada sesebuah kerajaan yang dibentuk. Perkara itu ditekankan setiap pembahas yang mewakili negeri-negeri agar UMNO perlu mencari jalan untuk kembali mentadbir negara seperti dulu.

Namun, menerusi perubahan landskap politik, UMNO tidak boleh salah dalam menyusun percaturan, maka sebab itu strategi perlu dirangka dengan lebih awal bagi menentukan sama ada ingin bertanding secara solo atau de­ngan Pakatan Harapan (PH). Ada yang menerima kerjasama UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, namun ada juga yang menentang.

Segala intipati mengenai perkara itu akan diteliti dari semasa ke semasa. Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, UMNO tidak akan sesekali menggadaikan prinsip perjuangan, jika tidak, parti itu tidak teragak-agak untuk menamatkan kerjasama dengan PH.

Dalam tempoh dua tahun ini, UMNO perlu lebih bekerja keras untuk menepis naratif perkauman yang diwujudkan pembangkang, di mana sebelum ini ‘gelombang hijau’ telah memberi tamparan kepada UMNO dengan memperoleh 26 kerusi pada PRU-15.

Namun, tumpuan awal perlu diberi perhatian kepada PRK DUN Mahkota, sama ada UMNO BN sekali lagi mampu memikat hati pengundi atau tidak.

Maka sebab itu, UMNO menerusi ketiga-tiga sayap perlu merombak pendekatan terhadap masyarakat khususnya ge­nerasi Z yang merupakan ‘senjata utama’ mampu memenangkan parti. – UTUSAN

Related Articles

Politik

Bersatu perlu terbuka serah mandat Pas kemudi PN

Bersatu didakwa semakin lemah dan Pas patut diberi laluan kemudi PNPETALING JAYA:...

Politik

Kerugian FashionValet boleh bantu ratusan usahawan bumiputera

Dr. Kelvin Yii Lee WuenKUALA LUMPUR: Kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dicatatkan...

Politik

Radzi, Ronald, Peja menang jawatan Naib Presiden Bersatu

Ronald Kiandee (kiri), Ahmad Faizal Azumu (dua kiri) dan Radzi Jidin (kanan)...

Politik

‘Guan Eng jangan menangis minta bantuan lagi’

LIM GUAN ENGKUALA LUMPUR: Sebilangan kecil pemimpin Kerajaan Perpaduan didakwa masih terbawa-bawa...