Friday , 20 September 2024
Home Politik Bersatu parti ‘kura-kura’, ancam hak Melayu – Zahid
Politik

Bersatu parti ‘kura-kura’, ancam hak Melayu – Zahid

Bersatu parti ‘kura-kura’, ancam hak Melayu – Zahid

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu bertanggungjawab atas perpecahan orang Melayu hari ini berikutan ancaman yang berlaku ketika parti itu memerintah negara.

Ia mengimbas kembali situasi sewaktu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang dibawa oleh seorang Menteri Bersatu ketika itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau tidak menyifatkan UMNO sebagai kura-kura yang menyorokkan kepala sehingga sanggup menjual prinsip ketika berada di dalam kerajaan.

“Bersatu pernah berada dalam kerajaan.  Jangan kita lupa, merekalah antara orang yang bertanggungjawab mengancam kedudukan Melayu. Usaha untuk menerima pakai  Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dibawa  salah seorang pimpinan mereka yang menjadi menteri ketika itu.

“Kita tidak akan lupa walaupun dia kata Melayu mudah lupa. Jika bukan kita sebagai pemelihara keindukan Melayu bangkit menentang, nescaya konvensyen tersebut telah ditandatangani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden UMNO pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.

Selain itu, Ahmad Zahid turut menyifatkan Pas hanya bersandiwara di atas parti memperjuang agama selain hanya dilihat memainkan sentimen dan emosi untuk merendahkan Melayu Islam.

“Pas yang bertopengkan agama, ketika menjadi kerajaan, apa agenda Islam yang mereka bawa? RUU 355 senyap sepi seribu bahasa.  Hudud bukan lagi agenda utama. Negara Islam pula entah ke mana.

“Orang Melayu perlu sedar akan perkara ini.  Mereka hanya tahu memainkan sentimen dan emosi, bukannya bertujuan memperkukuhkan kedudukan Melayu dan Islam. Ia hanya sandiwara politik yang mengkhayalkan.  

“Oleh itu, saya ingin menyeru kepada seluruh umat Melayu.  Janganlah terpedaya atau terpesona dengan lisan mereka yang fasih memainkan kata-kata. Kesannya besar kepada kestabilan dan keharmonian negara,” katanya.

Berikutan itu, UMNO akan menjalankan usaha secara besar-besaran untuk menyatukan pertubuhan-pertubuhan NGO Melayu sebagai satu gerakan. 

Jelas Ahmad Zahid, gerakan yang dinamakan Rumpun Melayu itu akan menjadikan Islam dan Melayu sebagai teras perjuangan, di samping berkongsi kuasa dengan parti politik lain untuk memperkukuh juga hak bangsa-bangsa lain. 

“Melalui gerakan ini, kita akan bersama pertubuhan-pertubuhan yang memiliki semangat mempertahankan perkongsian kuasa.  Kita mahu gerakan ini, sebagai wadah untuk memastikan agenda Melayu dan Islam menjadi teras dalam apa juga bentuk kerjasama yang hendak dijalinkan,” katanya.

Ahmad Zahid menegaskan, pentadbiran negara bukan satu uji kaji kerana kerana ia akan menyebabkan khususnya jurang antara orang Melayu semakin melebar, sekali gus kuasa orang Melayu turut akan lemah.- UTUSAN

Related Articles

BN Sabah perhalusi kerjasama dengan PH menjelang PRN17
Politik

BN Sabah perhalusi kerjasama dengan PH menjelang PRN17

BUNG Moktar Radin (dua kiri) semasa hadir mempengerusikan Mesyuarat UMNO Sabah di...

PRK Mahkota: Syed Hussien dapat sokongan padu Amanah
Politik

PRK Mahkota: Syed Hussien dapat sokongan padu Amanah

MAHFUZ OMARALOR SETAR: Parti Amanah Negara (Amanah) memberi jaminan menyokong sepenuh­nya calon...

PRK Mahkota: PN umum calon malam ini
Politik

PRK Mahkota: PN umum calon malam ini

MUHYIDDIN YASSINKLUANG: Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calon yang mewakili parti itu...

PRK Mahkota: Wanita UMNO kecewa, namun tetap semangat
Politik

PRK Mahkota: Wanita UMNO kecewa, namun tetap semangat

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (kanan) dan...