Saturday , 23 November 2024
Home Politik Majlis Raja-Raja, Peguam Negara pun pertikai jumlah SD Muhyiddin – Anwar
Politik

Majlis Raja-Raja, Peguam Negara pun pertikai jumlah SD Muhyiddin – Anwar

Majlis Raja-Raja, Peguam Negara pun pertikai jumlah SD Muhyiddin – Anwar

ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menempelak Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana masih menjaja mempunyai sokongan 115 ahli Parlimen menerusi Akuan Bersumpah (SD) sedangkan jumlah dijajanya itu turut dipertikai Majlis Raja-Raja dan Peguam Negara ketika itu.

Perdana Menteri berkata, dalam soal SD diperoleh Muhyiddin itu, terdapat pertindihan membabitkan ahli Parlimen yang menurunkan tandatangan ke atas dokumen tersebut.

“Setakat yang saya faham diikuti pandangan Raja-Raja dan Peguam Negara pada masa itu yang dilantik oleh Tan Sri Muhyiddin, mengatakan jumlah itu dipertikai, maka diserah pada budi bicara Yang di-Pertuan Agong, itu kenyataan, jelas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjamu selera di Gertak Merah di Kampung Penchala, di sini, hari ini.

Untuk rekod, Peguam Negara ketika kemelut pelantikan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ketika itu adalah Tan Sri Idrus Harun.

Perdana Menteri berkata, beliau sebelum ini mengelak untuk menjawab isu sokongan 115 terhadap Muhyiddin namun Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) itu terus menjajanya dan ia mengelirukan.

“Yang di-Pertuan Agong ini (kuasanya) tertakluk kepada Perlembagaan apabila kedudukan tidak jelas (kerana Tan Sri Muhyiddin kata ada 115 (SD), Anwar pun kata ada 115 (SD), jadi Tuanku terpaksa buka balik dan semak (Perlembagaan) untuk menyakinkan dirinya.

“Sebab itu dalam Perlembagaan dikatakan mengikut pandangan Tuanku setelah melihat semua. Maka selepas itu, Tuanku memanggil sidang Majlis Raja-Raja untuk berbincang dan keputusan itu dikemukakan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau enggan menjawab isu 115  SD diperoleh Ahli Parlimen Pagoh itu sebelum ini kerana tidak melihatnya sebagai satu isu.

“Masalah dia apa, masalah dia adalah kenyataan yang ditafsir sebagai menghina dan mempertikai kuasa raja, itu dia.

“Kalau betul beliau bawa 115, tetapi Tuanku lihat ada ahli Parlimen sudah turunkan tandatangan sini, pada masa sama di sini juga (ada tandatangan), kemudian ada parti di mana ahli Parlimen dah beri mandat penuh kepada ketua parti untuk membuat keputusan dan ia mutlak, tak boleh dipertikai,” katanya.

Kelmarin, Muhyiddin dilapor menyerahkan beberapa dokumen kepada polis bagi membantu siasatan berhubung isu beliau menyentuh institusi raja semasa berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Antara dokumen diserahkan ialah surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh 20 November 2022, mengandungi titah perintah Yang di-Pertuan Agong Ke-16 yang meminta ahli Dewan Rakyat mendapat sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.

Media baru-baru ini, melaporkan sebanyak 30 laporan polis diterima berhubung ucapan Muhyiddin yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum) ketika berkempen pada PRK DUN Nenggiri.

Rentetan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, siasatan ke atas bekas Perdana Menteri berkenaan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Related Articles

Politik

Bersatu perlu terbuka serah mandat Pas kemudi PN

Bersatu didakwa semakin lemah dan Pas patut diberi laluan kemudi PNPETALING JAYA:...

Politik

Kerugian FashionValet boleh bantu ratusan usahawan bumiputera

Dr. Kelvin Yii Lee WuenKUALA LUMPUR: Kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dicatatkan...

Politik

Radzi, Ronald, Peja menang jawatan Naib Presiden Bersatu

Ronald Kiandee (kiri), Ahmad Faizal Azumu (dua kiri) dan Radzi Jidin (kanan)...

Politik

‘Guan Eng jangan menangis minta bantuan lagi’

LIM GUAN ENGKUALA LUMPUR: Sebilangan kecil pemimpin Kerajaan Perpaduan didakwa masih terbawa-bawa...