Home Ekonomi USD/MYR Diunjur Berada Antara 4.20 Hingga 4.25 Akhir Tahun Ini – MIER
Ekonomi

USD/MYR Diunjur Berada Antara 4.20 Hingga 4.25 Akhir Tahun Ini – MIER

USD/MYR Diunjur Berada Antara 4.20 Hingga 4.25 Akhir Tahun Ini – MIER

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Livevartha) — Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mengunjurkan ringgit boleh mengukuh kepada antara 4.20 hingga 4.25 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini, melonjak daripada 4.59 yang direkodkan pada penghujung 2023.

Bagaimanapun, MIER berhati-hati dalam unjurannya memandangkan kekukuhan berterusan dolar AS mungkin mengekalkan purata kadar pertukaran ringgit pada sekitar 4.60 hingga 4.64, sedikit tinggi berbanding purata 2023 pada 4.56.

MIER menjelaskan ringgit boleh meraih manfaat lebih daripada sekadar dasar monetari AS.

Institusi itu memaklumkan faktor domestik seperti pembaharuan fiskal yang bertujuan mengurangkan defisit belanjawan serta pertumbuhan kukuh KDNK yang dijangka dapat dicapai, jika tidak melebihi lima peratus pada 2024, juga masih boleh menyokong mata wang tempatan.

“Pelaburan langsung asing yang besar, penghantaran balik dana daripada syarikat berkaitan kerajaan, serta kemampanan lebihan akaun semasa yang didorong oleh eksport kukuh elektronik, pelancongan dan perkhidmatan meneguhkan lagi prospek ringgit,” menurut MIER dalam Tinjauan Ekonomi Bulanan Julai 2024, dikeluarkan pada Isnin.

MIER menekankan pelaburan asing dalam pasaran ekuiti dan bon Malaysia merupakan satu lagi faktor positif.

Selepas aliran keluar RM823.6 juta pada awal tahun, pasaran ekuiti mencatatkan aliran masuk bernilai RM1.3 bilion pada Julai.

Dalam pada itu, nilai aliran masuk asing ke dalam pasaran bon berjumlah RM874.6 juta pada separuh pertama 2024.

Walaupun ringgit berada di bawah nilai, petunjuk seperti Kadar Pertukaran Efektif Nominal (NEER) dan Kadar Pertukaran Efektif Sebenar (REER) menunjukkan nilai saksamanya berada antara 3.90 hingga 4.20 berbanding dolar AS, jelas institusi penyelidikan itu.

Related Articles

Ekonomi

Lawatan PM ke Thailand: Malaysia raih potensi eksport RM1.07 bilion

Malaysia berjaya meraih potensi eksport berjumlah RM1.07 bilion hasil lawatan rasmi Perdana...

Ekonomi

Kempen Umrah 1,000 Asnaf: Sembilan individu pertama terima tajaan

Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin / Foto BernamaPETALING JAYA, 19 April...

Ekonomi

AirAsia buka laluan ke Uzbekistan mulai September

Foto Hiasan / BernamaKUALA LUMPUR, 19 April – Uzbekistan komited untuk memperkukuh...

Ekonomi

Ringgit diunjur mendatar berbanding dolar AS minggu depan

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 19 April- Ringgit dijangka diniagakan mendatar dalam julat 4.41...