Home Nasional Nga akan cadang pemetaan utiliti dalam mesyuarat KPKT
Nasional

Nga akan cadang pemetaan utiliti dalam mesyuarat KPKT

Nga akan cadang pemetaan utiliti dalam mesyuarat KPKT

Foto BERNAMA

IPOH, 25 Ogos- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming akan mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi terlibat serta syarikat utiliti bekerjasama melaksanakan pemetaan utiliti bawah tanah, dalam mesyuarat kementeriannya pada minggu ini.

Nga berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa bersikap terbuka dan sedia bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kerja Raya dan pelbagai agensi terlibat supaya mempunyai pemetaan utiliti atau kemudahan di bawah tanah.

“Di atas tanah kita boleh nampak, bawah tanah tak nampak tetapi itu (pemetaan utiliti) penting kerana tanpa kemudahan bawah tanah utiliti semua tak sampai seperti air, elektrik, Internet, tangki najis semua di bawah tanah.

“Sebab itu esok apabila saya kembali ke pejabat, saya akan bangkitkan pada mesyuarat kementerian pada minggu ini,” katanya kepada pemberita selepas Jamuan Makan Malam DAP Perak di sini malam ini.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata DBKL, agensi terlibat serta syarikat utiliti disaran bekerjasama dalam membuat pemetaan utiliti bawah tanah bagi mengelakkan insiden tidak diingini berlaku terutama ketika pembangunan sesuatu projek.

Fahmi berkata pemetaan utiliti itu penting bagi melihat keadaan di bawah tanah dengan kebanyakannya mempunyai saluran perpaipan dan kabel elektrik yang ada kalanya tidak dipetakan pihak utiliti.

Sementara itu, Nga berkata kejadian tanah jerlus di Kuala Lumpur adalah di bawah bidang kuasa DBKL dan beliau masih menunggu laporan berkenaan kes itu, namun menegaskan KPKT telah mengerahkan segala kepakaran anggota bomba untuk menyelamatkan pelancong warga India terbabit.

“Kami bersimpati dengan apa yang berlaku pada beliau, kami sedang melakukan yang terbaik, saya tahu cabarannya sangat besar khususnya ini melibatkan pelbagai aliran bawah tanah yang mengandungi gas beracun dan lain-lain,” katanya.

Pada Jumaat lepas, seorang pelancong wanita dari India yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter dalam insiden tanah jerlus semasa berjalan di hadapan Malayan Mansion pada 8.22 pagi.

Dalam perkembangan sama, Nga berkata beliau telah mengarahkan Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin supaya melihat kembali semua kawasan berpotensi tanah jerlus di Ipoh dengan memanggil satu mesyuarat segera bagi memeriksa keselamatan di kawasan berkenaan untuk memastikan kejadian sama tidak berulang.

Terdahulu, pengguna jalan raya diminta mematuhi arahan papan tanda keselamatan di Jalan Kamaruddin Isa di Taman Fair Park di sini berdekatan kawasan kerja naik taraf kelubung oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berikutan kejadian jalan retak dan berlubang.- BERNAMA

Related Articles

UPSI lancar terjemahan pertama buku kepimpinan aktiviti luar
Nasional

UPSI lancar terjemahan pertama buku kepimpinan aktiviti luar

Profesor Madya Dr Mazuki Mohd Yassim (kiri) menyampaikan buku Kepimpinan Berkesan Dalam...

Trump arah henti kajian didakwa punca COVID-19
Nasional

Trump arah henti kajian didakwa punca COVID-19

Donald Trump pada sesi menandatangani perintah eksekutif baharu semalam menamatkan pembiayaan persekutuan...

JKPD Kedah seru pemantauan rapi elak penyeludupan dadah
Nasional

JKPD Kedah seru pemantauan rapi elak penyeludupan dadah

Pengerusi Jawatankuasa Rawatan dan Pemulihan Dadah (JKPD) Negeri Kedah, Dr. Zaki Zamani...

Roti canai terbang Pokok Sena gegar Japan Expo 2025
Nasional

Roti canai terbang Pokok Sena gegar Japan Expo 2025

Aksi lincah Muhammad Muiz Ruzaini mendapat tepukan gemuruh pengunjung Japan Expo 2025....