Saturday , 21 September 2024
Home Nasional Dewan Rakyat tumpu penggubalan undang-undang tangani buli siber
Nasional

Dewan Rakyat tumpu penggubalan undang-undang tangani buli siber

Dewan Rakyat tumpu penggubalan undang-undang tangani buli siber

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 18 Julai- Tindakan kerajaan dalam menangani insiden buli siber termasuk berkaitan penggubalan undang-undang dijangka menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan berkaitan inisiatif kerajaan dalam menggubal undang-undang merentas kementerian bagi menangani buli siber yang berleluasa diajukan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) kepada Menteri Komunikasi pada Waktu Pertanyaan Menteri.

Turut menjadi tumpuan pelan tindakan kerajaan memperkasakan industri halal sejajar sasaran Malaysia menjadi peneraju pasaran halal antarabangsa dengan nilai eksport halal sebanyak RM63.1 bilion menjelang 2025, yang dibangkitkan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) kepada Perdana Menteri.

Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) pula meminta Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyatakan usaha kementerian menjelaskan isu mikroplastik yang menjadi ancaman kepada sumber dan bekalan air dalam kalangan masyarakat.

Pada sesi soal jawab, soalan berhubung langkah mengoptimumkan penggunaan digital dalam pengajaran dan pembelajaran melalui Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa) oleh guru dan pelajar, diajukan Young Syefura Othman (PH-Bentong) kepada Menteri Pendidikan.

Selain itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bertanya kepada Menteri Dalam Negeri mengenai kajian dan sesi libat urus berkenaan cadangan menyahjenayah (dekriminalisasi) dalam penyalahgunaan dadah yang akan memberi impak kepada keselamatan masyarakat awam.

Soalan mengenai usaha kerajaan mempertingkatkan hasil negara selain melalui pungutan cukai dan pelaksanaan subsidi bersasar, dan sama ada kerajaan berhasrat memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) ditanyakan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) kepada Menteri Kewangan.

Usai sesi soal jawab, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dijangka membentangkan usul agar Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung daripada Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen selama enam bulan.

Ini susulan kenyataan beliau semasa perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) 2021 dan 2022 pada 1 Julai lepas, berhubung sepucuk surat layang yang tular dan didakwa mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).- BERNAMA

Related Articles

Cuaca tak menentu, nelayan disaran guna kaedah Q'Fish
Nasional

Cuaca tak menentu, nelayan disaran guna kaedah Q'Fish

Produk ikan segar beku yang halal & diproses oleh kakitangan Persatuan Nelayan...

Polis perketat kawalan di kawasan banjir Kota Setar, Pokok Sena
Nasional

Polis perketat kawalan di kawasan banjir Kota Setar, Pokok Sena

Polis mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan yang dilanda banjir di Daerah Kota...

Bekas Timbalan Menteri KKMM, Datuk Eddin meninggal dunia
Nasional

Bekas Timbalan Menteri KKMM, Datuk Eddin meninggal dunia

Foto RTMKUALA LUMPUR, 20 September –Bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM),...

Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat
Nasional

Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat

Jumlah mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 6,087 orang setakat 8 pagi...