Saturday , 21 December 2024
Home Nasional Program SULAM bantu pelajar jadi warganegara digital bertanggungjawab
Nasional

Program SULAM bantu pelajar jadi warganegara digital bertanggungjawab

Program SULAM bantu pelajar jadi warganegara digital bertanggungjawab

Projek SULAM dapat membantu pelajar sekolah mengemudi dunia digital yang penuh cabaran seperti buli siber, pemangsa dalam talian dan sebagainya / Foto UUM

SINTOK, 18 Julai – Program Perkhidmatan Pembelajaran Malaysia-Universiti untuk Masyarakat atau ringkasnya SULAM, meneruskan inisiatif dengan mendekati komuniti dan memperkasa 320 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba menerusi projek “I Am a Mindful Digital Citizen”.

Projek ini diselaraskan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Fadziana Faisal Mohamed bertujuan mendidik pelajar sekolah menjadi warganegara digital yang berhemah, bertanggungjawab dan berpengetahuan.

“Cabaran dibawa oleh ledakan teknologi terutama Internet sangat ketara terutama kepada generasi muda. Internet membuka pelbagai peluang tetapi pada masa sama memberikan cabaran kepada mereka dari segi ancaman buli siber, isu privasi, pemangsa dalam talian, pendedahan kepada kandungan tidak sesuai, maklumat tidak sahih dan berita palsu, ketagihan digital dan berbagai lagi impak negatif kepada generasi muda ini.

“Menerusi program ini, pelajar-pelajar terlibat diberikan pendedahan dan pentingnya garis panduan untuk mereka mengenal pasti ancaman-ancaman siber, mengatasi tekanan sosial, keselamatan siber dan jejak digital,” jelas Nur Fadziana.

Menerusi program di SMK Hosba ini, 320 pelajar dari Tingkatan 1 hingga 3 dididik tentang bagaimana menjadi seorang warganegara berhemah, bertanggungjawab dan berpengetahuan ketika menggunakan plaftorm digital terutama media sosial.

Seramai 81 mahasiswa Perkhidmatan Teknologi Internet berperanan sebagai fasilitator untuk mengendalikan pelbagai program kepada pelajar SMK Hosba ini.
Modul program terdiri daripada bengkel interaktif, sumber dalam talian, inisiatif media sosial serta simulasi dan permainan yang direka khusus bagi memperkasa pelajar sekolah menengah supaya dapat mengemudi dunia digital dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab.

Menerusi bengkel interaktif, pelajar sekolah diberi pengetahuan tentang tanggungjawab digital, keselamatan siber dan tingkah laku dalam talian.

Program sumber dalam talian pula, menyediakan pelajar dengan garis panduan praktikal sebelum mereka mengakses bahan dalam talian seperti artikel, video dan kandungan lain.

Sementara itu, modul inisiatif media sosial mendidik mereka supaya memanfaatkan platform digital untuk perkara positif dan seterusnya, pelajar menyertai modul simulasi dan permainan bagi menjadikan proses pembelajaran lebih aktif dan menarik kepada generasi muda.

Ia juga bertujuan memupuk kemahiran berkomunikasi terbuka, menetapkan batasan yang sihat dan mengembangkan kemahiran berfikir kritis untuk membantu remaja menghadapi cabaran dunia digital.

Related Articles

Amaran ribut petir, hujan lebat di Perak, Selangor dan Sabah
Nasional

Amaran ribut petir, hujan lebat di Perak, Selangor dan Sabah

FOTO FAIL KUALA LUMPUR, 21 Disember – Amaran ribut petir, hujan lebat...

Tol percuma sempena Krismas, 23 dan 24 Disember
Nasional

Tol percuma sempena Krismas, 23 dan 24 Disember

FOTO FAIL KUALA LUMPUR, 21 Disember – Pemberian tol percuma akan kepada...

Teater: Platform utama angkat karya agung bangsa
Nasional

Teater: Platform utama angkat karya agung bangsa

FOTO BERNAMAMELAKA, 21 Disember – Pementasan teater kekal relevan sebagai medium utama...

Kes kemalangan di Sarawak meningkat, JPJ ambil langkah tegas
Nasional

Kes kemalangan di Sarawak meningkat, JPJ ambil langkah tegas

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibolah / Foto RTMKUCHING, 21 Disember –...