Saturday , 21 September 2024
Home Nasional Syarikat penerbangan rugi jutaan, industri tuntut penjelasan- Tony Fernandes
Nasional

Syarikat penerbangan rugi jutaan, industri tuntut penjelasan- Tony Fernandes

Syarikat penerbangan rugi jutaan, industri tuntut penjelasan- Tony Fernandes

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes

KUALA LUMPUR, 20 Julai- Gangguan IT global yang mencetuskan kegagalan sistem serta huru-hara dalam urusan orang ramai telah menyebabkan banyak syarikat penerbangan kehilangan pendapatan mencecah jutaan, kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Capital A Bhd Tan Sri Tony Fernandes.

Fernandes menerima permohonan maaf CrowdStrike tetapi menekankan bahawa syarikat penerbangan masih menunggu penjelasan daripada Microsoft mengenai insiden itu.

“Syarikat-syarikat teknologi tidak memiliki empati. Semasa kami berhadapan dengan COVID-19, mereka tidak bertimbang rasa. Sekarang mereka mempunyai masalah dan mengharapkan kami perlu faham. Syarikat penerbangan memerlukan jawapan dan ganti rugi,” katanya dalam catatan LinkedIn hari ini.

CrowdStrike Holdings Inc, sebuah syarikat teknologi keselamatan siber Amerika yang berpangkalan di Austin, Texas, menyediakan perlindungan titik akhir, risikan ancaman dan perkhidmatan tindak balas serangan siber.

Berdasarkan huru-hara yang terjadi semalam, Fernandes menekankan kepentingan untuk belajar dan berkembang daripada situasi tersebut.

Beliau ketika menjelaskan lebih lanjut mengenai gangguan itu berkata keadaan nampaknya telah stabil pada hari kedua gangguan IT global yang merencatkan operasi AirAsia di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Tetapi kami tidak leka. Kami bersedia untuk sebarang gangguan selanjutnya,” katanya.

Syarikat penerbangan itu telah menguruskan operasi secara manual, bermula daripada daftar masuk, mencetak pas kemasukan sehingga kepada penghantaran bagasi, dengan lebih 100 sukarelawan Allstar membantu di lapangan.

“Ini mengingatkan saya pada zaman awal kami 23 tahun lepas apabila semuanya dilakukan secara manual. Kami berbangga kerana kami telah meminimumkan pembatalan penerbangan disebabkan ketangkasan kami untuk beralih kepada operasi manual dan komitmen ikhlas kami bagi berkhidmat kepada rakyat,” tambahnya lagi.

Walaupun terdapat beberapa kelewatan, Fernandes memberi jaminan bahawa AirAsia berazam untuk menerbangkan semua orang dengan selamat ke destinasi mereka.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada tetamu kami yang telah bersabar dan menghargai usaha kami sepanjang ujian ini,” katanya.

AirAsia meneruskan operasi daftar masuk dalam taliannya pada 2 petang hari ini, berikutan masalah IT global yang bermula petang semalam.

Menjawab catatan Fernandes, pelawat di platform sosial berkenaan, Muhammad Rafay Ahmed Khan mengulas, “Baru sahaja menghantar isteri dan anak saya di KLIA 2, semuanya kelihatan kembali normal sekarang. Perkhidmatan yang hebat oleh AirAsia, kudos Tony Fernandes.”

Seorang lagi pengguna lain, Kushagra Varshney, memuji pengurusan krisis pasukan AirAsia, dengan memberitahu, “Menakjubkan melihat pasukan anda menguruskan krisis ini dengan empati dan komitmen. Juga, perkara penting yang dibangkitkan oleh Tony Fernandes—apabila kegagalan sistem IT menyebabkan kerugian kewangan serta mengganggu kehidupan orang ramai, apakah ganti rugi yang disediakan oleh syarikat IT ini?”

Begitu juga, Umar Dani Mochlis Moktar memberikan komen, “Tindakan yang mengagumkan daripada pasukan anda. Insiden ini membuatkan kami tertanya-tanya betapa mudahnya satu sistem boleh mengganggu seluruh dunia.”

Semalam, institusi utama, termasuk syarikat penerbangan, bank, saluran media dan hospital di beberapa negara, dilaporkan terjejas oleh gangguan IT global yang dikaitkan dengan CrowdStrike.- BERNAMA

Related Articles

Banjir: PM kunjungi tiga pusat pemindahan di Kedah hari ini
Nasional

Banjir: PM kunjungi tiga pusat pemindahan di Kedah hari ini

Foto BERNAMAALOR SETAR, 21 September – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim...

Prof Osman Bakar dilantik Rektor UIAM ketujuh
Nasional

Prof Osman Bakar dilantik Rektor UIAM ketujuh

Foto BERNAMAPUTRAJAYA, 21 September – Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar dilantik...

211 PATI dihantar pulang ke negara asal
Nasional

211 PATI dihantar pulang ke negara asal

Foto Facebook Jabatan Imigresen Malaysia JohorJohor Bahru, 21 September – Jabatan Imigresen...

Kampung Angkat Madani Nanga Engkuah "satu doa yang dimakbulkan"
Nasional

Kampung Angkat Madani Nanga Engkuah "satu doa yang dimakbulkan"

Foto Unit Komunikasi Awam Sarawak KAPIT, 21 September – Nanga Engkuah, sebuah...