KUALA LUMPUR, 24 Julai-Rakyat Malaysia perlu terus memberikan sokongan dan semangat kepada kontinjen negara yang bakal beraksi di temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Menerusi perkongsian di Facebook, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sokongan kepada 26 atlet negara terlibat penting terutama mereka yang sedang menggalas misi merealisasikan impian emas pertama di temasya sukan itu.
\”Kontinjen Malaysia ke olimpik telah berangkat dan sekarang membuat persediaan untuk bertarung. Kita rakyat Malaysia harus mendoakan sebaiknya.. semoga Malaysia dapat menempah sejarah melakar satu prestasi yang baik dan menggondol hadiah yang mungkin kita perolehi.
\”Jadi sama-sama kita mengikuti, menyaksikan, mendoakan ke hadrat Allah SWT mudah-mudahan \’team\’ (pasukan) Malaysia berjaya, jadi kita sama-sama ucapkan selamat maju jaya dan \’sukses\’ (kejayaan) kepada \’Team Mas\’,\” katanya.