KUALA LUMPUR, 29 Julai– Kisah tular seorang pelajar baharu yang melanjutkan pelajaran ke sebuah institusi pendidikan tinggi (IPT), telah menyentuh hati warga maya.
Pelajar yang dikenali sebagai Lim ZY, berdepan pelbagai cabaran untuk mendaftarkan diri ke Politeknik Balik Pulau (PBU), tanpa ditemani ahli keluarga kerana faktor kurang berkemampuan.
Bagaimanapun, individu yang dikenali sebagai Zaidil Adha yang juga pegawai hal ehwal pelajar politeknik berkenaan, dipuji pelayar media sosial kerana memudahkan urusan pelajar berkenaan.
Zaidil yang berkongsi kisah tersebut di Facebooknya, mendapat pelbagai reaksi positif daripada pelayar selain bukti perpaduan antara kaum di Malaysia.
Kisah meruntun hati itu bermula apabila Lim terpaksa tiba sehari lebih awal (27 Julai) daripada tarikh pendaftaran (28 Julai), kerana ketiadaan tiket bas.
Zaidil mengakui bahawa dia kagum melihat Lim yang berani menjejakkan kaki dari Batu Pahat ke Pulau Pinang secara sendirian, untuk pertama kalinya.
\”Saya sangat kagum kerana Lim bukan sahaja tidak pernah ke Pulau Pinang, dia juga tidak pernah menaiki bas ekspres. Saya meminta nombor telefon, nombor kad pengenalan dan nama penuh pelajar itu,\” cerita Zaidil dalam Facebooknya.
Lim tiba di perpustakaan politeknik, serba lengkap berpakaian baju kemeja putih, berseluar hitam dan bertali leher seperti kod etika pakaian semasa hari pendaftaran.
Zaidil bagaimanapun meminta Lim untuk menukar baju, sebelum membawanya ke kedai terdekat untuk membeli barang kelengkapan diri.
\”Zaidil yang sedang menunggu tiba-tiba terkejut apabila Lim yang keluar dari tandas perpustakaan dengan muka merah, mata berair dan tangan yang terketar-ketar.\”
\”Lim menjawab, beg besar yang dibawanya bukan miliknya. Beg dia tertukar semasa turun bas pagi tadi. Saya menghela nafas panjang, memikirkan banyak kerja yang perlu diselesaikan pagi ini.\”
\”Namun, saya tidak sanggup membiarkannya dalam kesulitan. Saya berkata, \”Jom saya bawa awak ke Terminal Bas Sungai Nibong. Bawa beg yang salah itu bersama,\” luah Zaidil lagi.
Katanya, selepas urusan mendapatkan beg bagasi Lim, Zaidil membawa pelajar itu makan tengah hari serta membeli barang keperluan diri.
\”Sepanjang perjalanan, Lim kelihatan sangat teruja melihat pemandangan, apatah lagi berpeluang melalui jambatan Pulau Pinang. Lim turut merakam beberapa keping gambar untuk dikirim kepada kedua ibu bapanya.\”
\”Setiap kali mengambil barang, Lim akan mengira di kalkulator telefon bimbitnya untuk memastikan dia tidak melebihi bajet. Di kaunter bayaran, saya bayarkan semua barang yang dibelinya. Lim tunduk-tunduk seperti orang Jepun mengucapkan terima kasih,\” jelas Zaidil.
Selesai sahaja urusan pembelian, Lim kemudian disambut oleh pelajar-pelajar senior berbangsa Cina, untuk membantu Lim di asrama.
Kisah tersebut telah mendapat lebih 10,000 tanda suka, ribuan perkongsian dan komen positif daripada warga maya.