SUBANG JAYA, 30 November– Proses integrasi rangkaian CelcomDigi berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran 30%, menjelang akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Idham Nawawi berkata lebih 4,400 tapak telekomunikasi telah dibangunkan sehingga Oktober 2023.
Pihaknya juga dalam perancangan untuk membawa sasaran integrasi tahun hadapan ke dalam tahun ini.
Walaupun berlaku penambahan pelaksanaan integrasi, syarikat telekomunikasi itu masih mengekalkan sasarannya untuk tahun ini.
\”Buat masa ini, kami mengekalkan sasaran. Walaupun berlaku penambahan integrasi namun masih dalam julat yang sama (30%).
Kami akan merumuskan pencapaian 2023 dan akan melihat momentun untuk lebih baik pada tahun depan,\” kata Idham kepada pemberita dalam sidang media Pelancaran Pelan Pascabayar 5G CelcomDigi, di sini.
Integrasi rangkaian sebanyak 30% dilakukan tahun ini manakala 40% pada tahun depan dan bakinya pada tahun berikut.
Secara keseluruhan, projek tersebut melibatkan pembangunan 18,000 tapak telekomunikasi.