KUALA LUMPUR, 7 Mac- Keputusan Bank Negara Malaysia, BNM mengekalkan Kadar Dasar Semalaman, OPR pada 3 peratus adalah sejajar unjuran penganalisis ekonomi.
Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, ia berdasarkan keyakinan terhadap kedudukan ekonomi global yang diunjur lebih baik pada tahun ini.
\”Petanda-petanda ekonomi seperti sektor yang berkaitan tentang pelancongan, sektor luaran seperti angka pertumbuhan positif dan eksport negara menunjukkan bahawa pada tahun ini ekonomi dijangka akan mencapai satu pertumbuhan lebih baik berbanding 3.7 peratus dicatatkan pada tahun 2023,\”katanya.
Mengulas dalam program Biz Malaysia, jelasnya pengekalan OPR itu turut menandakan langkah positif dalam memastikan dasar monetari terus menyokong proses pertumbuhan ekonomi negara.
Pertumbuhan ekonomi semasa juga berada dalam keadaan yang baik khususnya sektor yang berkait rapat dengan pelancongan, eksport dan semikonduktor.
Jawatankuasa Dasar Monetari; MPC Bank Negara Malaysia BNM memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 3 peratus dalam mesyuarat keduanya tahun ini.