KUALA LUMPUR, 5 Julai- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan mengetuai penyertaan syarikat berkaitan semikonduktor tempatan, di SEMICON West 2024 bermula Selasa ini.
Ekspo tiga hari berlangsung di Moscone Center San Francisco, California itu turut disertai 10 syarikat yang mempamerkan keupayaan pembuatan elektronik yang meluas.
Ini termasuk produk dan teknologi termaju dalam peralatan ujian automatik, peralatan pemeriksaan optik automatik dan pemasangan papan litar bercetak.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, penyertaan berterusan dalam SEMICON West, langkah strategik untuk meletakkan Malaysia sebagai pemain global utama dalam rantaian nilai semikonduktor.
Ia menawarkan manfaat yang besar memandangkan jualan semikonduktor dunia dianggar berkembang 13.1 peratus menjelang akhir 2024.
Tahun lalu, Malaysia merupakan pengeksport ke-10 terbesar untuk produk elektrik dan elektronik (E&E) serta pengeksport keenam terbesar semikonduktor.
Bagi lima bulan pertama 2024, eksport E&E negara mengekalkan pertumbuhan untuk bulan kedua berturut-turut berjumlah RM228.38 bilion, dengan eksport semikonduktor berjumlah RM146.95 bilion.