Sunday , 10 November 2024
Home Ekonomi Ketua Menteri Teraju Misi Pelaburan Pulau Pinang Ke Amerika Syarikat
Ekonomi

Ketua Menteri Teraju Misi Pelaburan Pulau Pinang Ke Amerika Syarikat

Ketua Menteri Teraju Misi Pelaburan Pulau Pinang Ke Amerika Syarikat

Kredit: FB – Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN, 4 Ogos (Livevartha) — Pulau Pinang mengadakan misi pelaburan dan perdagangan ke Amerika Syarikat (AS) untuk memperbaharu dan menjalinkan hubungan dengan pihak ibu pejabat korporat pelabur AS yang beroperasi di Pulau Pinang.

Misi anjuran InvestPenang mulai hari ini hingga 14 Ogos dengan diketuai Ketua Menteri Chow Kon Yeow itu turut bertujuan menggalakkan pengembangan tapak pelabur di Pulau Pinang selain menarik pelaburan baharu.

“Misi juga bertujuan memberikan maklumat baharu kepada syarikat AS mengenai perkembangan dan peluang terkini yang tersedia di Pulau Pinang selain infrastruktur dan perubahan dasar untuk memudahkan pelaburan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang pada Ahad.

Berlandaskan usaha meningkatkan kebolehlihatan kepada Pulau Pinang dan seterusnya mempromosikan negeri ini sebagai lokasi utama, misi itu juga menyasarkan bakal pelabur dalam beberapa bidang, jelas kenyataan itu.

Menurutnya menerusi misi itu, Pulau Pinang menyasarkan bakal pelabur dalam bidang elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor, peralatan, peranti perubatan, reka bentuk litar bersepadu (IC), perkhidmatan perniagaan global digital (DGBS) dan industri ekonomi digital.

Sepanjang misi itu, delegasi Chow akan menyertai beberapa mesyuarat dan lawatan ke ibu pejabat korporat pelabur AS untuk mengetengahkan kelebihan, inovasi dan komitmen negeri untuk menjadi lokasi pelaburan yang berdaya tahan dan mampan.

Menurut kenyataan itu, Chow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi negeri menyatakan komitmen terhadap misi pelaburan dan perdagangan itu, selain berharap dapat memperkukuh hubungan dengan pelabur AS.

“Sangat berharap hasil positif daripada misi ini,” katanya.

Pulau Pinang, digelar sebagai ‘Lembah Silikon Timur’, merekodkan aliran masuk pelaburan bernilai RM71.9 bilion pada 2023, yang tertinggi di Malaysia, dipacu oleh pelaburan langsung asing yang membentuk RM61.7 bilion atau 85.8 peratus daripada aliran masuk pelaburan pembuatan negeri.

Related Articles

Ekonomi

Pertumbuhan ekonomi Malaysia dilihat stabil dan berkembang kukuh

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid...

Ekonomi

Bank Rakyat lantik Ahmad Shahril sebagai pemangku CEO

Ahmad Shahril Mohd Shariff KUALA LUMPUR, 9 November- Bank Rakyat melantik Ahmad...

Ekonomi

FBM KLCI dijangka meningkat minggu depan, dorongan faktor luaran

Foto FailKUALA LUMPUR, 9 November– FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka...

Ekonomi

Ringgit dijangka diniagakan tinggi minggu depan

Foto FailKUALA LUMPUR, 9 November– Ringgit dijangka diniagakan lebih tinggi berbanding dolar...