Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Datuk Nik Amlizan Mohamed
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Livevartha) –Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP)telah mengukuhkan komitmennya terhadap pelaburan mampan dengan meningkatkan tumpuannya terhadap aset peralihan menerusi peruntukan sebanyakRM20 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) menyokong kedua-dua pendekatan komuniti dan strategi pelaburan di KWAP.
Beliau berkata KWAPkomited untuk memperjuangkan prinsip ESG dengan sasaran yang jelastermasuk pelaburan besar dalam projek tenaga boleh baharu, infrastruktur mampan dan teknologi bersih yang inovatif.
"Matlamat kami adalah untuk memacu perubahan bermakna dalam peralihan kepada ekonomi yang mampan, pada masa sama memastikan pulangan kukuh untuk pemegang kepentingan kami.
"Selain pelaburan, kami juga melaksanakan program kemampanan komprehensif dalam organisasi kami seperti mengurangkan jejak karbon dan menggalakkan kesedaran alam sekitar dalam kalangan pekerja dan pihak berkepentingan kami," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Persidangan KWAP Inspire 2024 hari ini.
Nik Amlizan berkata sebagai dana pencen terbesar di Malaysia untuk pesara penjawat awam, KWAP dipertanggungjawabkan untuk menjana pulangan jangka panjang yang optimum, mampan dan risiko terlaras untuk badan berkanun tersebut.
Mencari peluang untuk melabur secara aktif dalam syarikat dan projek yang sejajar dengan tema tertentu, beliau berkata KWAP menyasarkan untuk memberikan kesan sosial dan alam sekitar yang ketara sertamenghasilkan pulangan kewangan.
Persidangan itu bertemakan ‘Advancing Circular Transformation for a Climate-Smart Malaysia’ menghimpunkan pemegang kepentingan utama dari sektor awam, industri kewangan dan pakar kemampanan untuk meneroka strategi bagimembina masa depan yang selamat, saksama, inklusif dan mampan untuk semua rakyat Malaysia dengan tumpuan kepada ekonomi kitaran.
Selain itu, KWAP memperkenalkan Laporan Kelestarian 2023 yang pertamapada persidangan itu.