Thursday , 5 December 2024
Home Politik Kuasa tiga badan kawal selia padi beras diasingkan
Politik

Kuasa tiga badan kawal selia padi beras diasingkan

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memutuskan untuk mengasingkan kuasa antara Bahagian Pembangunan Industri Padi (PIP), Kawalselia Padi Beras (KPB) dan wakil kerajaan dalam Padiberas Nasional Bhd (BERNAS).

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, perkara itu wajar dilaksanakan segera bagi memantapkan tatakelola sektor padi dan beras di negara ini.

Beliau berkata, perkara itu juga penting bagi mengatasi isu ketiadaan beras putih di pasaran tempatan dan menjamin kebajikan 230,000 pesawah di negara ini.

“Pada peringkat awal, saya memerlukan masa yang agak panjang untuk memahami keseluruhan rantaian nilai industri padi dan beras negara memandangkan ia adalah sebuah industri yang sangat besar dan kompleks.

“Padi merupakan komoditi strategik negara yang memainkan peranan penting dan memberi kelangsungan hidup kepada lebih satu juta isi rumah.

“Buat masa ini pengeluaran beras tempatan hanya mampu membekalkan keperluan untuk 21 juta pengguna di Malaysia,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan kementerian di sini, hari ini.

Katanya, ketika ini, penduduk Malaysia sudah melebihi 30 juta orang, sebahagian lagi beras terpaksa import dari sumber luar melalui BERNAS.

Mohamad berkata, pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah mana-mana polisi sedia ada kerana ia ibarat sehelai kain sarung “kalau ditarik ke atas, di bawah akan terlihat dan jika ditarik ke bawah, di atas akan terlihat’

“Oleh sebab itu, kami sangat berhati-hati ketika mahu melaksanakan reformasi ke atas industri ini. Banyak sesi libat urus perlu dilaksanakan dan pelbagai lapisan masyarakat perlu disantuni untuk mendapatkan kaedah yang terbaik bagi menguruskan komoditi ini.

Selain itu, katanya, pihaknya juga akan memperkenalkan ‘Peraturan Melarang Campuran Beras Putih Tempatan dengan Beras Putih Import’
dan pekelilingnya akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Pada masa sama, katanya, beliau menghargai pengumuman dibuat Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg yang telah mengumumkan peruntukan RM500 juta dalam Belanjawan Sarawak 2025 bagi meningkatkan pengeluaran padi dan beras di negeri itu.

Dalam perkembangan lain, katanya, satu jawatankuasa khas akan diwujudkan bagi meningkatkan Kadar Sara Diri (SSR) yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Seri Isham Ishak.

“Jawatankuasa itu penting bagi merancang dan mencukupkan bekalan daging sepertimana yang ditetapkan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0),” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Politik

Bersatu perlu terbuka serah mandat Pas kemudi PN

Bersatu didakwa semakin lemah dan Pas patut diberi laluan kemudi PNPETALING JAYA:...

Politik

Kerugian FashionValet boleh bantu ratusan usahawan bumiputera

Dr. Kelvin Yii Lee WuenKUALA LUMPUR: Kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dicatatkan...

Politik

Radzi, Ronald, Peja menang jawatan Naib Presiden Bersatu

Ronald Kiandee (kiri), Ahmad Faizal Azumu (dua kiri) dan Radzi Jidin (kanan)...

Politik

‘Guan Eng jangan menangis minta bantuan lagi’

LIM GUAN ENGKUALA LUMPUR: Sebilangan kecil pemimpin Kerajaan Perpaduan didakwa masih terbawa-bawa...