BINTULU, 23 Januari- Sebanyak 80 keluarga asnaf di Bintulu dan Miri menerima sumbangan bakul makanan melalui Program CSR “Uplifting Lives: Chinese New Year” anjuran PETRONAS Carigali Sdn Bhd (Sarawak Asset) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak, Cawangan Bintulu.
Program bertujuan membantu meringankan beban golongan asnaf dengan menyediakan barangan asas seperti beras, minyak masak, tepung, gula, susu pekat, kicap, mi segera, kopi, oat, limau mandarin, serta produk kebersihan asas.
Agihan di Bintulu dijalankan di kawasan Kemena Land District, Tanah Perkuburan Cina Batu 2, dan San San Garden. Sementara itu, minggu lalu, kawasan seperti Kampung Tudan Lot, Pujut 1, dan Kampung Pujut Padang Kerbau di Miri turut menerima bantuan serupa.
Ketua Sarawak Asset, Noriani @ Yati Mohamad, berkata program tersebut adalah inisiatif PETRONAS untuk menyokong komuniti setempat dan menceriakan musim perayaan mereka.
“Musim perayaan adalah peluang untuk kita bersama insan tersayang. PETRONAS komited untuk membawa kegembiraan dan kehangatan perayaan kepada individu dan keluarga yang memerlukan,” katanya.
PETRONAS juga menyatakan hasrat untuk memperluaskan bantuan ini ke daerah lain dengan kerjasama JKM Sarawak, agar lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu.
Program tersebut mencerminkan usaha berterusan PETRONAS dalam menyokong komuniti setempat dan menyemarakkan semangat perayaan.