KUCHING, 16 April- Sarawak bakal mencipta satu lagi kejayaan baharu dalam dunia pendigitalan apabila sebuah teknologi inovasi anak tempatan akan diperkenalkan ke pasaran global hujung bulan ini di United Kingdom.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, memaklumkan beliau akan mengetuai delegasi dari Sarawak ke UK bagi membentangkan teknologi tersebut.
“Jika diterima pasaran global, kita mungkin akan mencipta pencapaian baharu dalam bidang teknologi, khususnya pendigitalan dan cip. Jadi kalau betul-betul menjadi, memang \’berdengung\’ juga kita,” katanya sambil berseloroh namun kekal optimis terhadap potensi besar teknologi tersebut.
Menurut beliau, inovasi berkenaan merupakan hasil usaha anak muda Sarawak dan berpotensi besar untuk digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa.
Untuk rekod, Sarawak telah menubuhkan Sarawak Microelectronics Design (SMD) pada tahun 2022, sebuah syarikat pemula yang memfokuskan kepada reka bentuk cip semikonduktor.
SMD kini menjalinkan kerjasama strategik dengan syarikat dari United Kingdom untuk membangunkan teknologi pengilangan cip yang lebih bersih dan lestari, sekaligus memenuhi keperluan sektor teknologi hijau masa depan.
Antara objektif utama inisiatif tersebutb termasuk pembangunan cip frekuensi radio (RF) yang direka khusus untuk industri aeroangkasa, dan dijangka digunakan oleh syarikat antarabangsa seperti British Aerospace.
Usaha itu turut dilihat sebagai satu langkah proaktif Sarawak dalam melonjakkan kehadirannya dalam ekonomi digital global, seterusnya meletakkan negeri itu sebagai pemain utama dalam ekosistem teknologi rantau ini.