GEORGE TOWN, 16 April- Seorang lelaki tempatan ditahan kerana disyaki menyeleweng Gas Petroleum Cecair (LPG) sejak enam bulan lalu, dalam serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang di sebuah rumah teres di Kampung Jawa, Bayan Lepas.
Menurut Pengarah KPDN Negeri, S. Jegan, pihaknya menjalankan risikan selama tiga minggu sebelum menyerbu premis berkenaan.
Ketika serbuan, suspek berusia 40-an itu didapati sedang memindahkan LPG dari tong bersaiz 14 kilogram ke tong bersaiz 50 kilogram.
“Jumlah LPG yang dirampas dianggarkan seberat 498 kilogram dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM30,546.20,” katanya dalam sidang media di sini.
Pemeriksaan lanjut turut menemui sebuah lori yang mengandungi pelbagai tong gas LPG termasuk yang berisi dan kosong daripada pelbagai jenama di kawasan premis tersebut.
Tambahnya, pemilik premis gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit sah berkaitan pemilikan serta penyimpanan barang kawalan berjadual.
Tegas beliau, aktiviti menyeleweng LPG di kawasan kediaman tanpa mengikut prosedur keselamatan adalah sangat berbahaya dan tidak boleh dikompromi.
Sehubungan itu, KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.