Home Nasional Petugas media dijemput sertai Pesta Pantun sempena HAWANA 2025
Nasional

Petugas media dijemput sertai Pesta Pantun sempena HAWANA 2025

Petugas media dijemput sertai Pesta Pantun sempena HAWANA 2025

Penyertaan Pesta Pantun HAWANA–DBP 2025 terbuka kepada semua petugas media / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 2 Mei – Petugas media dari seluruh negara dijemput menyertai Pesta Pantun HAWANA–DBP 2025 yang merupakan antara acara istimewa bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.

Program yang dianjurkan oleh Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu diadakan buat julung kali bertujuan mengangkat seni pantun sebagai warisan bangsa yang wajar dipelihara dan dimartabatkan.

Ketua Pengarang Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2025 Arul Rajoo Durar Raj berkata pertandingan itu bertujuan menyemarakkan semangat kebudayaan dalam kalangan warga media sambil memperkukuh jaringan ukhuwah sesama petugas.

\”Pantun ialah warisan intelektual Melayu yang mencerminkan keindahan bahasa, nilai murni dan kecerdasan minda. Menerusi pesta ini, kita ingin menyemai semula kecintaan terhadap seni sastera dalam kalangan pengamal media,\” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penyertaan Pesta Pantun HAWANA–DBP 2025 terbuka kepada semua petugas media dengan tarikh tutup penyertaan ditetapkan pada 15 Mei ini.

Pertandingan akhir dijadualkan berlangsung pada 31 Mei.

Pesta Pantun HAWANA–DBP 2025 diharap dapat menarik penyertaan pelbagai agensi media dari seluruh negara dalam suasana pertandingan yang santai, tetapi sarat dengan nilai warisan dan kebudayaan.

HAWANA yang memasuki edisi kelima tahun ini selepas dianjurkan buat kali pertama pada 2018 merupakan acara tahunan yang menghimpunkan para pengamal media bagi menghargai peranan dan sumbangan mereka dalam pembangunan negara.

Sambutan HAWANA 2025 akan diadakan pada Jun dengan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyertaan Pesta Pantun HAWANA–DBP 2025 boleh menghubungi Ziana Nasir melalui talian 01157540939. – BERNAMA

Related Articles

UPSI lancar terjemahan pertama buku kepimpinan aktiviti luar
Nasional

UPSI lancar terjemahan pertama buku kepimpinan aktiviti luar

Profesor Madya Dr Mazuki Mohd Yassim (kiri) menyampaikan buku Kepimpinan Berkesan Dalam...

Trump arah henti kajian didakwa punca COVID-19
Nasional

Trump arah henti kajian didakwa punca COVID-19

Donald Trump pada sesi menandatangani perintah eksekutif baharu semalam menamatkan pembiayaan persekutuan...

JKPD Kedah seru pemantauan rapi elak penyeludupan dadah
Nasional

JKPD Kedah seru pemantauan rapi elak penyeludupan dadah

Pengerusi Jawatankuasa Rawatan dan Pemulihan Dadah (JKPD) Negeri Kedah, Dr. Zaki Zamani...

Roti canai terbang Pokok Sena gegar Japan Expo 2025
Nasional

Roti canai terbang Pokok Sena gegar Japan Expo 2025

Aksi lincah Muhammad Muiz Ruzaini mendapat tepukan gemuruh pengunjung Japan Expo 2025....