Saturday , 7 December 2024
Home Nasional Nur Ain akhirnya genggam ijazah walau diuji pelbagai dugaan hidup
Nasional

Nur Ain akhirnya genggam ijazah walau diuji pelbagai dugaan hidup

Nur Ain akhirnya genggam ijazah walau diuji pelbagai dugaan hidup

Perjalanan berliku yang dihadapi oleh Nur Ain Sazali tidak mematahkan semangatnya untuk menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Kewangan pada Majlis Konvokesyen Ke-100 UiTM / Foto UiTM

SHAH ALAM, 27 November – Nur Ain binti Sazali, 30, melakar sejarah peribadi luar biasa apabila berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Kewangan pada Majlis Konvokesyen Ke-100 UiTM. Namun, kejayaan ini tidak datang dengan mudah – ia adalah hasil perjuangan penuh liku, air mata, dan pengorbanan besar.

Berasal dari Batu Pahat, Johor, Nur Ain menamatkan pengajian ePJJ selama tujuh tahun, melangkaui tempoh biasa empat tahun setengah. Dalam tempoh itu, beliau menempuh fasa kehilangan, perceraian, keguguran kandungan, masalah kewangan, dan tanggungjawab menjaga adik istimewa yang menghidap sindrom down.

“Saya hampir menyerah,” luahnya. Nur Ain pernah lebih sepuluh kali berniat untuk berhenti belajar, malah pernah mengisi borang tarik diri.

Namun, dorongan kata-kata arwah ibunya sentiasa menghidupkan semangat: “Belajarlah setinggi mungkin. Jangan berhenti separuh jalan.”

Cabaran hidup Nur Ain bermula sejak remaja. Ketika berusia 17 tahun, dua minggu sebelum SPM, beliau kehilangan ibunya yang menghidap kanser serviks.

“Ibu meninggal dunia kerana jangkitan kuman pada paru-paru. Itu mengubah seluruh hidup saya,” kenangnya. Akibat itu, prestasi akademiknya terjejas, memaksanya bermula dari pradiploma sebelum melangkah ke peringkat diploma dan akhirnya ijazah.

Mengimbas perjalanan tujuh tahun penuh dugaan, Nur Ain terpaksa berulang-alik setiap dua minggu dari Batu Pahat ke Kampus Pasir Gudang. Ketika dalam perjalanan pulang suatu hari, beliau mengalami kemalangan akibat microsleep.

“Saya keletihan. Kereta terlanggar pembahagi jalan, tapi alhamdulillah, saya selamat,” katanya.

Penceraian turut menghantui perjuangannya.

“Saya bercerai seminggu sebelum peperiksaan akhir semester tujuh,” luahnya. Ketidaksefahaman dan tekanan hidup menjadi punca hubungan itu berakhir.

“Dia tak faham kehidupan sebagai pelajar. Kami terlalu sibuk dengan hal masing-masing.”

Hari graduasi menjadi detik paling beremosi buat Nur Ain.

“Saya menangis masuk ke dewan. Saya tak sangka dapat melangkah sejauh ini,” katanya penuh syukur.

Kini, beliau bekerja sebagai Penolong Penyelia di sebuah kedai rantaian penjagaan kesihatan dan kecantikan; dan merancang untuk masa depan lebih cerah.

“Saya mahu stabilkan kewangan dulu sebelum sambung master. Saya sedang memohon kerja di sektor kerajaan yang lebih sesuai dengan ijazah saya,” katanya optimis.

Pesanan Nur Ain kepada semua yang menghadapi cabaran serupa cukup ringkas, tetapi bermakna: “Habiskan apa yang telah kita mulakan. Jangan pernah berhenti, walau seberat mana ujian itu.”

Kisah hidup Nur Ain membuktikan bahawa setiap air mata dan pengorbanan akan terbayar, asalkan kita terus melangkah ke depan.

Related Articles

PM dijadual rasmi Penang Silicon Design @5km+
Nasional

PM dijadual rasmi Penang Silicon Design @5km+

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMAGEORGE TOWN, 7 Disember– Perdana Menteri...

Banjir enam negeri beransur pulih
Nasional

Banjir enam negeri beransur pulih

FOTO BERNAMAKUALA LUMPUR, 7 Disember- Kemaskini jumlah penduduk terjejas banjir di enam...

300 penguat kuasa KPDN sertai Skuad Ihsan MADANI
Nasional

300 penguat kuasa KPDN sertai Skuad Ihsan MADANI

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd...

YAPEIM sumbang RM50,000 bantu pengamal media dan penggiat seni tempatan
Nasional

YAPEIM sumbang RM50,000 bantu pengamal media dan penggiat seni tempatan

FOTO RTMKUALA LUMPUR, 7 Disember- Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) menyalurkan...