KUALA KRAI, 5 April – Seorang lelaki berusia 59 tahun yang dilaporkan hilang sejak lima hari lalu ditemukan meninggal dunia bersama motosikalnya di kawasan ladang kelapa sawit di Kilometer 65 Jalan Kota Bharu – Gua Musang, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata mangsa dipercayai terbabas dan terjatuh ke dalam longkang ketika menunggang motosikal secara bersendirian.
“Pihak polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat mangsa pada pukul 2.55 petang daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai. Siasatan awal mendapati motosikal mangsa terbabas dari arah Kuala Krai menuju ke rumahnya di Kampung Keroh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan di lokasi kejadian menemukan kesan tayar motosikal menuju ke arah longkang.
Mayat mangsa yang masih memakai topi keledar ditemui di sebelah motosikal, dalam keadaan sudah mereput dan menampakkan tulang.
Mazlan berkata, isteri mangsa membuat laporan polis mengenai kehilangan suaminya pada 1 April lalu, selepas lelaki itu keluar rumah pada 30 Mac untuk bertemu rakan di Kuala Krai namun tidak pulang.
Mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.