GEORGETOWN. 2 Februari-Lebih 200,000 pengunjung menghadiri acara kebudayaan \’Penang Miao Hui\’ di George Town.
Acara sempena perayaan Tahun Baharu Cina itu menjadi platform terbaik memupuk perpaduan serta memperkenal warisan kebudayaan.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, sambutan ini merupakan peluang terbaik menyatukan masyarakat majmuk serta memperkenal budaya dan keunikan masyarakat Cina.
\”Sambutan Penang Miao Hui bukan sekadar sambutan perayaan. Ia merupakan satu perjalanan tradisi dan budaya masyarakat Tionghua yang kaya dengan budaya.
\”Setiap pengunjung dapat mencipta kenangan berharga serta mengeratkan hubungan sesama kita. Saya harap semua pengunjung dapat merasai semangat Tahun Baharu Cina, dengan menikmati hidangan tradisional dan meninggalkan sambutan Miao Hui ini dengan penghargaan terhadap warisan yang membentuk jati diri kita\”, katanya demikian ketika merasmikan sambutan Penang Miao Hui di Lebuh King, di sini.
Acara sambutan bermula dari 2.30 petang berakhir 11.59 malam itu berlangsung di sepanjang jalan warisan di sekitar Georgetown.
Sementara itu, Pengerusi Penang Chinese Clan, Hi Swee Choon menyifatkan elemen kebudayaan yang diketengahkan pada sambutan kali ini tidak hanya terhad kepada masyarakat Cina, sebaliknya menggabungkan budaya Melayu serta India.
\”Sebenarnya kami sudah menggabungkan kebudayaan tempatan dari tiga bangsa Melayu, India dan Cina.
\”Jadi ia menjadi satu kebudayaan yang berbilang bangsa dan bercorak tempatan.Kami harap lebih ramai lagi rakyat yang berbilang bangsa datang melawat dan memeriahkan acara\”, katanya.