KUALA LUMPUR, 10 Februari – Ketegasan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam memperketat kawalan keselamatan di pusat beli-belah dan lokasi tumpuan umum disifatkan sebagai langkah tepat dalam memperkasa keselamatan awam.
Penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata tindakan itu bukan sahaja dapat mencegah insiden jenayah, malah memastikan kawasan tumpuan orang ramai lebih selamat dan terkawal.
Menurut beliau, pemasangan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) berkualiti tinggi di lokasi awam seperti stesen tren dan lapangan terbang perlu dipertimbangkan.
\”Ketua Polis Negara memberi arahan untuk tingkatkan keselamatan tempat awam, ini amat baik sekali. Namun, kita perlu melihat kejadian ini dengan serius, bukan sekadar perkara remeh. Saya mencadangkan supaya tempat awam, terutama di stesen tren, lapangan terbang dan lokasi strategik, dibekalkan dengan CCTV berkualiti tinggi bagi memastikan rakaman yang jelas,\” katanya ketika dihubungi RTM.
Tambah Shahul Hamid, aspek keselamatan bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa, namun turut memerlukan kerjasama masyarakat dalam membanteras jenayah.
\”Kita sebagai rakyat perlu membantu apa yang mampu kerana keselamatan negara bukan sahaja terletak di tangan penguat kuasa, tetapi kita juga perlu memainkan peranan untuk memastikan jenayah seperti ini tidak berlaku,\” ujarnya.
Selain itu, beliau mencadangkan supaya jumlah anggota polis dan pengawal keselamatan ditambah di kawasan tumpuan umum bagi meningkatkan keberkesanan pengawasan dan pencegahan jenayah.
Mengulas lanjut, Shahul Hamid menegaskan bahawa usaha memperketat kawalan keselamatan memerlukan komitmen bersepadu daripada semua pihak bagi memastikan imej keselamatan negara terus terpelihara.