Home Nasional Keselamatan MALBATT 850-12 di Lubnan terkawal
Nasional

Keselamatan MALBATT 850-12 di Lubnan terkawal

Keselamatan MALBATT 850-12 di Lubnan terkawal

Foto Hiasan / Bernama

JOHOR BAHRU, 6 Mei — Keadaan keselamatan pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 yang bertugas dalam misi pengaman Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan berada dalam keadaan terkawal, meskipun berdepan situasi berpotensi risiko keselamatan.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata pelbagai langkah kontingensi telah diambil termasuk penyediaan bunker bagi memastikan kesiapsiagaan anggota dan mengelakkan kelalaian.

“Yang kita khuatirkan ialah kemungkinan tindakan di luar kawalan oleh pihak bertelagah yang boleh menembak ke kawasan tugasan kita. Namun, Alhamdulillah, setakat ini belum ada insiden berisiko tinggi. Kita tetap berwaspada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Panglima Tentera Darat dan Pengerusi Jemaah BAKAT bersama keluarga MALBATT 850-12 di Kem Ulu Tiram, di sini, pada Isnin.

Pasukan MALBATT 850-12 dijadualkan pulang secara beransur menjelang November ini dan akan digantikan oleh pasukan MALBATT 850-13 termasuk satu platun daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Sementara itu, walaupun terpaksa berjauhan dengan suami yang menjalankan tugas di Lubnan, dua isteri anggota MALBATT 850-12, Nur Fazliana Mazli dan Anisah Mohd Haluan, akur dan memahami tanggungjawab yang perlu dilaksanakan demi negara.

Isteri kepada Koperal Muhammad Fared Amran, Nur Fazliana Mazli berkata pengalaman berjauhan dengan suami bukan perkara baharu buatnya, namun beliau tetap cekal menguruskan anak mereka yang menghidap penyakit jantung berlubang.

“Anak saya sakit jantung berlubang tetapi lubangnya semakin mengecil. Jadi saya hanya perlu membuat susulan kerana doktor kata tidak perlu pembedahan,” katanya.

Anisah Mohd Haluan pula melahirkan rasa bangga terhadap pengorbanan suaminya dan berharap situasi di Lubnan kembali aman.

“Sebagai isteri, saya sangat memahami dan berbangga dia dapat berbakti di sana. Harapan saya semoga di sana kembali aman, penduduk tenang dan tiada lagi serangan. Saya turut mendoakan semua anggota pasukan selamat dan suami saya dapat pulang dengan selamat,” katanya.

Related Articles

UPSI lancar terjemahan pertama buku kepimpinan aktiviti luar
Nasional

UPSI lancar terjemahan pertama buku kepimpinan aktiviti luar

Profesor Madya Dr Mazuki Mohd Yassim (kiri) menyampaikan buku Kepimpinan Berkesan Dalam...

Trump arah henti kajian didakwa punca COVID-19
Nasional

Trump arah henti kajian didakwa punca COVID-19

Donald Trump pada sesi menandatangani perintah eksekutif baharu semalam menamatkan pembiayaan persekutuan...

JKPD Kedah seru pemantauan rapi elak penyeludupan dadah
Nasional

JKPD Kedah seru pemantauan rapi elak penyeludupan dadah

Pengerusi Jawatankuasa Rawatan dan Pemulihan Dadah (JKPD) Negeri Kedah, Dr. Zaki Zamani...

Roti canai terbang Pokok Sena gegar Japan Expo 2025
Nasional

Roti canai terbang Pokok Sena gegar Japan Expo 2025

Aksi lincah Muhammad Muiz Ruzaini mendapat tepukan gemuruh pengunjung Japan Expo 2025....