SINTOK, 11 Februari – Penganjuran Kem Multimedia@UUM 2025 bukan sahaja memberi pendedahan mengenai aplikasi multimedia dan teknologi digital kepada pelajar sekolah tetapi merupakan satu kaedah pemindahan kemahiran kepada komuniti yang mengeratkan hubungan universiti dengan masyarakat.
Menurut Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Ts. Dr. Sobihatun Nur Abdul Salam, kemahiran digital pada hari ini perlu dikuasai oleh pelajar memandangkan penggunaan meluas dalam bidang pendidikan dan dunia pekerjaan.
“Secara keseluruhannya, Kem Multimedia@UUM 2025 berjalan lancar dan mencapai objektif untuk meningkatkan pengetahuan peserta mengenai penggunaan aplikasi multimedia dan teknologi digital yang mudah digunakan. Berdasarkan pendedahan ini, peserta boleh menerapkan pengetahuan untuk membantu proses pembelajaran subjek-subjek sekolah dan juga menghasilkan kandungan digital.
“Kem ini merupakan siri keempat dan dianjurkan setiap tahun ketika cuti persekolahan oleh SMMTC. Untuk siri 2025, pelajar didedahkan kepada aplikasi Photopea dan Flipaclip yang membolehkan peserta menambah kemahiran digital serta psikomotor melalui latihan praktikal.
\”Peserta yang mengikuti kem ini mampu menghasilkan kandungan digital seperti kad ucapan, animasi 2D selain mengikuti pelbagai aktiviti menarik sepanjang program selama 2 hari bermula 9 Februari lalu,” jelas Dr. Sobihatun.
Selain itu, program ini juga bertujuan mendidik generasi muda menggunakan teknologi digital dengan berhemah supaya ia dapat memberi lebih banyak manfaat terutama kepada pelajar.
“Kita dapat melihat bagaimana teknologi digital boleh disalahguna menerusi penyebaran maklumat salah yang mengganggu keharmonian masyarakat.
Perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) yang boleh menjana kandungan-kandungan palsu yang kemudiannya disebarkan meluas dalam masyarakat adalah realiti sisi gelap kemajuan teknologi digital pada masa sekarang.
\”Oleh itu, sangat penting peserta program ini dididik untuk memanfaatkan teknologi digital untuk kebaikan dan mereka diajar untuk mengenal pasti sama ada sesuatu kandungan itu palsu atau tulen,” tambah Dr. Sobihatun lagi.
Salah seorang peserta, Muhammad Abdurrahman Muttaqin Firdaus Hakim berkata, beliau telah menyertai program sejak pertama kali ia dianjurkan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar UUM.
Menurutnya, program tersebut memberi pendedahan yang berguna berkaitan aplikasi multimedia dan teknologi digital dan beliau menerapkan pengetahuan itu untuk pelbagai aktiviti terutama menyiapkan kerja sekolah.
Bagi adik Addina Aulia Zulkifli pula, selain aktiviti di dalam makmal komputer, beliau menyukai aktiviti luaran seperti lawatan ke taman rusa, pusat pemeliharaan arnab, angsa dan burung unta yang diusahakan dalam kawasan UUM.
Baginya, aktiviti sedemikian dapat memupuk semangat kerjasama, kemahiran interpersonal dan berkenalan sesama peserta selain merasai suasana pembelajaran di universiti.
Seorang lagi peserta, Nur Hannani Abd Hadi berkata, dia sangat tertarik kepada pengajaran aplikasi multimedia iaitu Photopea dan Flipaclip kerana dapat digunakan untuk penghasilan kandungan digital yang kreatif.
Kedua-dua aplikasi membolehkannya menghasilkan reka bentuk grafik menarik dengan mudah dan animasi 2D hanya menggunakan telefon pintar.
Bagi menjadikan program ini relevan kepada pelajar sekolah, aplikasi berlainan diperkenal kepada peserta dan pemilihan aplikasi bergantung kepada kesesuaian dan impak untuk mereka yang berusia 7 hingga 15 tahun.