Home Nasional Kebakaran saluran paip gas: 20 agensi mula siasatan pagi ini
Nasional

Kebakaran saluran paip gas: 20 agensi mula siasatan pagi ini

Kebakaran saluran paip gas: 20 agensi mula siasatan pagi ini

FOTO BERNAMA

SUBANG JAYA, 2 April- Sebanyak 20 agensi akan memulakan siasatan dan pemeriksaan tahap keselamatan di lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, di sini, pagi ini.

Antaranya ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pejabat daerah di kawasan terlibat.

Ketua Polis Subang Jaya Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Wan Azlan Wan Mamat berkata setakat ini, Jalan Persiaran Harmoni ditutup secara berperingkat bagi memudahkan pergerakan pasukan keselamatan namun akan dibuka, juga secara berperingkat, kepada penduduk yang terjejas.

\”Satu taklimat akan diadakan bersama semua agensi terlibat bagi menjalankan siasatan dan tindakan susulan yang perlu dilakukan di lokasi kejadian,\” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian di sini.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad pula berkata pihaknya memulakan beberapa gerak kerja utama termasuk penaksiran kerugian ke atas rumah dan kenderaan yang terjejas susulan insiden letupan paip gas itu.

Beliau berkata satu pasukan turut ditempatkan dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan seperti insiden kebakaran.

\”Kita akan bersama TNB untuk membuat penilaian situasi berhubung pendawaian elektrik khususnya pada yang terdedah… kita akan melihat sama ada pendawaian itu selamat atau perlu tindakan lanjut bagi membolehkan kita buat penyambungan segera di kawasan tersebut,\” katanya ketika dihubungi Bernama.

Nor Hisham pasukan bomba juga memberi perhatian terhadap struktur rumah yang terbakar atau terkena impak letupan bagi memastikan keselamatan penduduk.

\”Daripada segi keselamatan juga, kita akan mula melihat kepada struktur rumah yang terbakar dan yang terkena letusan itu. Kalau yang tak selamat ataupun membahayakan, mungkin kita buat kerja-kerja meruntuhkan, contohnya struktur seperti bumbung,\” katanya.

Beliau berkata JBPM turut menggerakkan pasukan dari Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat untuk mempercepat proses siasatan selain memudahkan pergerakan penduduk yang terjejas untuk kembali ke kediaman mereka sepantas mungkin.

Tinjauan Bernama mendapati puluhan penduduk yang terjejas dalam insiden itu sudah berkumpul di lokasi kejadian seawal 7.30 pagi bagi mengetahui perkembangan dan status rumah mereka selain menunggu giliran untuk pulang bagi mendapatkan barang keperluan serta dokumen penting.

Selain itu, Pasukan Unit Anjing Pengesan dan Unit Siasatan Forensik dari Bukit Aman dilihat masuk ke lokasi kejadian.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussien Omar Khan berkata pemeriksaan akan dilakukan oleh agensi yang terbabit hari ini sebelum penghuni dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Seramai 364 mangsa daripada 74 keluarga terlibat dalam insiden itu dan mereka ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara iaitu di Masjid Putra Height serta Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (Dewan Camelia). -BERNAMA

Related Articles

UPSI lancar terjemahan pertama buku kepimpinan aktiviti luar
Nasional

UPSI lancar terjemahan pertama buku kepimpinan aktiviti luar

Profesor Madya Dr Mazuki Mohd Yassim (kiri) menyampaikan buku Kepimpinan Berkesan Dalam...

Trump arah henti kajian didakwa punca COVID-19
Nasional

Trump arah henti kajian didakwa punca COVID-19

Donald Trump pada sesi menandatangani perintah eksekutif baharu semalam menamatkan pembiayaan persekutuan...

JKPD Kedah seru pemantauan rapi elak penyeludupan dadah
Nasional

JKPD Kedah seru pemantauan rapi elak penyeludupan dadah

Pengerusi Jawatankuasa Rawatan dan Pemulihan Dadah (JKPD) Negeri Kedah, Dr. Zaki Zamani...

Roti canai terbang Pokok Sena gegar Japan Expo 2025
Nasional

Roti canai terbang Pokok Sena gegar Japan Expo 2025

Aksi lincah Muhammad Muiz Ruzaini mendapat tepukan gemuruh pengunjung Japan Expo 2025....