LANGKAWI, 1 Mac – Fenomena laut terbelah di Tanjung Rhu, di sini menarik kira-kira 3,500 pengunjung yang hadir untuk menyaksikan kejadian alam semula jadi yang jarang berlaku itu, pagi tadi.
Fenomena yang dikenali sebagai \”sandbar walk\” itu muncul sekali setahun apabila air laut surut sehingga 0.1 meter, mendedahkan beting pasir sepanjang 600 meter yang menghubungkan Pantai Tanjung Rhu dengan Pulau Penyu, Pulau Kelam Baya, dan Pulau Cabang.
Fenomena unik itu bermula seawal 6.45 pagi dan berlangsung selama satu jam, memberi peluang kepada pengunjung untuk berjalan di beting pasir serta menyaksikan pelbagai hidupan laut yang biasanya hanya boleh ditemui ketika aktiviti selam skuba.
Bagi Jacqui, pelancong dari Scotland, yang tiba di Langkawi semalam, beliau meluahkan rasa teruja apabila dimaklumkan tentang fenomena alam itu dan tidak mahu melepaskan peluang mengalaminya sendiri bersama suaminya.
Sementara itu, pelancong tempatan yang pernah menyaksikan fenomena tersebut sebelum ini tetap kembali untuk menikmati pengalaman unik berjalan di beting pasir.
Fenomena itu turut disenaraikan dalam kalendar pelancongan Langkawi tahun ini, sekali gus menambah tarikan kepada pelancong domestik dan antarabangsa.
Dari aspek keselamatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bertugas bagi memastikan keselamatan pengunjung.
Siren amaran akan dibunyikan oleh APM 30 minit sebelum air pasang semula, bagi memberi peringatan kepada pengunjung supaya segera berpatah balik ke pantai.