— Gambar hiasan
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 18 Jun (Livevartha) — Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar AS pada Rabu menjelang keputusan mengenai kadar faedah Amerika Syarikat (AS) lewat hari ini dan ketegangan antara Israel dan Iran yang terus meningkat.
Pada 6 petang, mata wang tempatan berada pada 4.2500/2550 berbanding dolar AS daripada 4.2390/2475 semasa ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata petunjuk utama yang perlu dipantau adalah “plot titik” (data) Kadar Dana Rizab Persekutuan (Fed) AS, yang pada asasnya mencerminkan prospek jangka pendek bagi dasar monetari AS.
Plot titik Fed adalah carta yang digunakan oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS untuk memaparkan unjuran kadar faedah individu daripada ahlinya.
“Fed dilihat mungkin tidak berminat untuk melonggarkan dasar monetari kerana risiko inflasi yang lebih tinggi masih jelas berikutan konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah. Pasaran sedang bersedia menunggu keputusan mesyuarat FOMC malam ini.
“Sementara itu, Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.3 peratus kepada 98.526 mata walaupun ketidaktentuan geopolitik meningkat,” katanya kepada Livevartha.
Mohd Afzanizam berkata ringgit bergerak dalam julat kecil hari ini dengan pergerakan antara RM4.2425 dan RM4.2515.
Pada penutup dagangan, ringgit kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.