Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 11 Jun (Livevartha) — Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada Rabu berikutan pasaran meneruskan pemantauan terhadap rundingan perdagangan selanjutnya antara Amerika Syarikat (AS) dan China di London, kata penganalisis.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.2290/2380 berbanding dolar AS daripada 4.2360/2420 semasa ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) turun naik antara 98.962 dan 99.358 malam tadi memandangkan peniaga dan pelabur terus melakukan pemantauan terhadap perbincangan perdagangan AS-China.
"Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick menyifatkan perbincangan itu berlangsung dengan baik, menandakan kedua-dua negara berpotensi untuk mencapai persetujuan dalam rundingan mereka," katanya kepada Livevartha.
Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata perbahasan mengenai rang undang-undang “Big, Beautiful Bill” oleh Presiden AS Donald Trump masih diteruskandalam kalangan Senat AS apabila sebilangan Republikan mendesak agar kredit cukai tenaga bersih dimansuhkan secara berperingkat bagi melindungi pelabur dan pekerjaan daripada gangguan besar.
Beliau berkata kedudukan fiskal AS akan menjadi tumpuan berikutan defisit fiskal dan hutang kerajaan dijangka meningkat.
“Walaupun sentimen pasaran menunjukkan isyarat positif, ini masih terlalu awal. Sehubungan itu, kami menjangkakan kadar pertukaran ringgit-dolar kekal dalam julat antara 4.23 dan 4.24 hari ini,” katanya.
Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.