Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 12 Jun (Livevartha) — Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS pada Khamis dalam persekitaran data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang lemah, kata penganalisis.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan naik kepada 4.2305/2405 berbanding dolar AS daripada 4.2345/2370 ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) merosot 0.47 peratus kepada 98.631 mata selepas data inflasi AS mencatatkan lebih rendah daripada jangkaan.
Indeks Harga Pengguna (IHP) AS pada Mei sebanyak 2.4 peratus berbanding anggaran konsensus sebanyak 2.5 peratus. Data IHP teras dicatatkan 2.8 peratus berbanding 2.9 peratus dalam tinjauan konsensus.
“Perbendaharaan AS jangka pendek merosot berikutan harapan terhadap penurunan kadar faedah semakin meningkatdengan hasil untuk tempoh dua tahun berkurangan tujuh mata asas kepada3.95 peratus.
“Jangkaan terhadap penurunan kadar faedah dilihat akan menjadi tumpuan berikutan tempoh pengerusi semasa Rizab Persekutuan (Fed) AS akan berakhir pada Mei tahun depan dan Presiden AS Donald Trump dijangka melantik ketua Fed yang selari dengan agendanya, iaitu melaksanakan pelonggaran dasar monetari seterusnya,” katanya kepada Livevartha.
Sehubungan itu, katanya DXY dijangka berada di bawah 100 mata untuk suatu tempoh yang akan memberi manfaat kepada mata wang pasaran sedang pesat membangun termasukringgit.
Mohd Afzanizam turut menjangka ringgit diniagakan pada aliran meningkat dalam julat antara RM4.22 dan RM4.23.