Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 13 Mei(Livevartha) — Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) diBursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Selasa, disokong oleh harga minyak kacang soya yang lebih kukuh dan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin reda, kata pedagang minyak sawit, David Ng.
Katanya, stok bekalan tempatan yang semakin meningkat dan paras pengeluaran yang lebih tinggi terus memberi tekanan menurun ke atas harga MSM.
“Kami melihat paras sokongan pada RM3,750 setan dan paras rintangan padaRM3,950 setan,” katanya kepada Livevartha.
Penganalisis kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM mengurangkan keuntungan awal daripada sesi pertama berikutan lonjakan dalam bekalan, tetapi kemudiannya kembali memperoleh momentumnya untuk ditutup hampir pada paras tengah hari.
Pasaran berdepan dengan tekanan jualan pada permulaan sesi kedua selepas Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan inventori April meningkat ke paras tertinggi enam bulan.
Dalam laporan prestasi industri pada bulan April 2025 yang dikeluarkan hari ini, MPOB melaporkan pengeluaran MSM meningkat 21.52 peratus atau298,531 tan kepada1.69 juta tan daripada 1.39 juta tan pada bulan Mac.
Sathia berkata peningkatan pengeluaran April dijangka secara meluas, memandangkan tanaman sawit memasuki tempoh pengeluaran tertinggi bermusim pada suku kedua.
Di Malaysia, pengeluaran tertinggi biasanya berlaku antara Ogos dan Oktober, manakala di Indonesia ia berlaku antara September dan November.