Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan
Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 13 Jun(Livevartha) –Serangan tentera Israel ke atas Iran awal hari ini telah menyebabkan harga minyak meningkat dengan ketara, sekali gus melonjakkan Indeks Tenaga Bursa Malaysia sebanyak 2.01 peratus kepada 740.76 mata berbanding 726.13 mata ketika ditutup semalam.
Ketika ini, minyak mentah Brent diniagakan pada harga US$74.30 setong.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn BhdMohd Sedek Jantanberkata memandangkan skala dan kepentingan strategik Iran dalam pasaran minyak global, kejutan semasa boleh menghasilkan impak sehingga dua atau bahkan tiga kali ganda berbanding kejadian sebelum ini.
“Pasaran sebelum ini mengunjurkan harga minyak mentah Brent akan terus turun, dengan purata US$61 setong menjelang akhir tahun dan US$59 setong pada 2026.
“Bagaimanapun, unjuran harga ini terganggu secara tiba-tiba berikutan serangan Israel ke atas kemudahan nuklear Iran awal hari ini, yang menyebabkan harga minyak meningkat secara mendadak,” katanya kepada Livevartha.
Beliau berkata kejutan geopolitik seperti itu telah mencetuskan pemilihan kepada sektor lain dengan segera dalam kalangan pelabur yang ingin memindahkan semula risiko.
Mohd Sedek berkata ketegangan yang meningkat membabitkan dua negara pengeksport minyak utama berpotensi membawa kepada kesan yang lebih ketara dan berterusan.
Memetik konflik Rusia-Ukraine, beliau berkata harga minyak mentah Brent meningkat dengan ketara dari 24 Februari hingga 8 Mac, 2022.