KUALA LUMPUR, 16 Jun(Livevartha) –Bursa Malaysia kekal rendah tengah hari ini seiring dengan kebanyakan pasaran serantau berikutan peniaga mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam konflik Israel-Iran yang meningkat, kata penganalisis.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 4.06 mata atau 0.26 peratus kepada 1,514.05 daripada 1,518.11 pada Jumaat lepas.
Indeks petunjuk pasaran, yang dibuka rendah 0.24 mata kepada 1,517.87, bergerak antara 1,512.26 dan 1,517.87 sepanjang sesi pagi.
Pasaran secara menyeluruh juga negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 711 berbanding 191 manakala 364 kaunter tidak berubah, 1,149 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.88bilion unit bernilai RM921.99 juta.
Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, bursa tempatan memulakan minggu ini dengan sentimen lebih berhati-hati dan pelabur mengambil pendekatan menghindari risiko.
Berdasarkan lonjakan harga minyak mentah Brent dan emas, katanya peluang dagangan wujud dalam kalangan syarikat berkaitan minyak dan gas serta emas berikutan komoditi ini kini diniagakan dalam persekitaran harga yang tinggi.
“Pelabur mungkin akan terus memberi tumpuan kepada sektor defensif seperti utiliti dan amanah pelaburan hartanah (REIT), dengan Gas Malaysia dan Sunway REITmenjadi pilihan utama kami,” katanya dalam nota penyelidikan.
Dari aspek teknikal, ia menjangka paras halangan untuk indeks petunjuk pasaran berada pada 1,533 hingga 1,538 manakala paras sokongan pada 1,498 hingga 1,503.