Home Ekonomi Ringgit mengukuh, sentimen pasaran dipengaruhi dasar global
Ekonomi

Ringgit mengukuh, sentimen pasaran dipengaruhi dasar global

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 18 Februari – Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa memandangkan pasaran terus mengalami dagangan secara berhati-hati menjelang minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS yang akan dikeluarkan pada Khamis, kata penganalisis.

Pada pukul 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.4250/4450 berbanding dolar AS daripada 4.4300/4360 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ketidaktentuan dasar ekonomi global terutama melibatkan dasar tarif import kerajaan AS dan ketidakukuhan pengaturan gencatan senjata di Gaza boleh mempengaruhi sentimen pasaran dengan mudah.

Beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) kekal sekitar 106 mata memandangkan pasaran AS ditutup pada Isnin sempena cuti Persekutuan, Hari Presiden.

“Oleh itu, kami menjangkakan pasaran mata wang kekal mengalami dagangan secara berhati-hati sebelum minit mesyuarat FOMC dikeluarkan Khamis ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata yen Jepun terus mencatatkan prestasi baik berbanding dolar AS, meningkat kepada 151.48 yen apabila pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jepun bagi suku keempat 2024 mencatatkan 2.8 peratus, lebih tinggi daripada anggaran konsensus 1.0 peratus.

“Bank of Japan menaikkan kadar dasar sebanyak 25 mata asas kepada 0.50 peratus pada 24 Januari, kadar tertinggi dalam tempoh 17 tahun,” katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan rendah kebanyakannya berbanding beberapa mata wang utama.

Ringgit naik berbanding euro kepada 4.6396/6606 daripada 4.6413/6476 ketika ditutup pada Isnin, dan susut berbanding pound British kepada 5.5848/6100 daripada 5.5765/5840.

Unit tempatan turun berbanding yen Jepun kepada 2.9216/9350 daripada 2.9179/9221.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.2985/3139 daripada 3.3025/3072 ketika penutupan dagangan pada Isnin, serta lebih stabil berbanding baht Thailand kepada 13.1263/1958 daripada 13.1349/1593.

Mata wang domestik tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 272.6/274.0 daripada 272.9/273.4 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.62/7.66 daripada 7.63/7.65.-Livevartha

Related Articles

Malaysia mendahului IPO di ASEAN
Ekonomi

Malaysia mendahului IPO di ASEAN

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (kanan) dan Fad’l Mohamed...

Synvista labur AS juta untuk kilang penyimpanan tenaga bateri di Kuala Selangor
Ekonomi

Synvista labur AS$50 juta untuk kilang penyimpanan tenaga bateri di Kuala Selangor

PETER Phang ketika ditemui pemberita selepas SynVista Energy Storage Full Lifecycle Summit...

E-Invois fasa 3 sasar pembayar cukai dengan hasil RM5j – RM25j
Ekonomi

E-Invois fasa 3 sasar pembayar cukai dengan hasil RM5j – RM25j

SHAHARRUDY Othman (tengah) ketika merasmikan Pelancaran Pelaksanaan e-Invois bagi Pembayar Cukai Fasa...

PKNPk, PoABI mengulangi komitmen terhadap inisiatif LuMIC 
Ekonomi

PKNPk, PoABI mengulangi komitmen terhadap inisiatif LuMIC 

REDZA Rafiq Abdul Razak (kiri) bersama PHILIPPE Marcel H. Droesbeke (dua dari...