Home Ekonomi Ringgit dijangka terus mengukuh, potensi cecah paras RM4.15 hingga RM4.20
Ekonomi

Ringgit dijangka terus mengukuh, potensi cecah paras RM4.15 hingga RM4.20

Ringgit dijangka terus mengukuh, potensi cecah paras RM4.15 hingga RM4.20

PETALING JAYA: Ringgit dijangka terus mengukuh dalam masa terdekat, berpotensi mencecah antara RM4.15 hingga RM4.20 berbanding dolar AS, didorong oleh penyusutan dolar susulan dasar tarif baharu AS terhadap beberapa ekonomi utama.

Penganalisis Ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, faktor utama pengukuhan ringgit ketika ini ialah kelemahan dolar AS, bukan semata-mata kekuatan ekonomi domestik.

Katanya, ini juga membuka ruang kepada ringgit untuk bergerak lebih stabil.

“Meskipun Bank Negara Malaysia (BNM) telah menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini, langkah itu dilihat menyumbang kepada kestabilan nilai mata wang tempatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Namun begitu, Barjoyai mengingatkan bahawa ringgit masih berisiko berdepan tekanan sekiranya tarif AS sebanyak 25 peratus mula dikuatkuasakan pada 1 Ogos ini.

“Sektor eksport negara berpotensi terjejas. Jika nilai eksport merosot sehingga RM70 bilion, tekanan ke atas ringgit boleh meningkat dalam jangka masa sederhana,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka bergerak dalam julat terhad sekitar RM4.23 hingga RM4.25 minggu depan, bergantung kepada perkembangan semasa berhubung dasar tarif AS dan data inflasi negara itu.

“Pasaran juga akan memberi perhatian kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada akhir bulan ini, yang berkemungkinan membincangkan potensi pemotongan kadar faedah,” katanya.

Menurut beliau, sekiranya kadar faedah AS diturunkan, perbezaan kadar antara Malaysia dan AS akan menjadi lebih kecil, sekali gus menyokong pemulihan ringgit

Dalam pada itu, beliau berkata, tumpuan pasaran akan beralih kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) di AS yang dijadual berlangsung pada 29 dan 30 Julai ini. 

“Minggu ini, minit mesyuarat FOMC yang lalu telah dikeluarkan dan terdapat beberapa ahli jawatankuasa yang menunjukkan kecenderungan untuk menyokong pemotongan kadar faedah seawal bulan Julai nanti.

“Kalau kadar faedah di AS diturunkan, jurang antara OPR Malaysia dan Fed Funds Rate akan menjadi lebih kecil. Ini secara langsung boleh menyokong pengukuhan ringgit,” katanya. 

Sementara itu, Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil pula berkata, ringgit dijangka mengukuh ke paras sekitar 4.10 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat, dipacu oleh jangkaan pengaruh dasar tarif yang diumumkan oleh Presiden AS, Donald Trump.

“Pelaksanaan semula tarif ke atas beberapa produk import bermula 1 Ogos berkemungkinan akan mengurangkan permintaan terhadap dolar AS secara relatif, terutama dari negara-negara rakan dagang utama termasuk Malaysia.

“Langkah tarif ini dijangka memberi tekanan terhadap jumlah eksport Malaysia ke AS, namun pada masa sama, pengurangan permintaan dolar untuk tujuan perdagangan mungkin menyumbang kepada pengukuhan nilai ringgit,” katanya. 

Tambah beliau, sekiranya tiada faktor luaran yang ketara seperti ketegangan geopolitik atau dasar monetari agresif dari Rizab Persekutuan, nilai ringgit dijangka terus stabil dan berpotensi untuk mengukuh secara berperingkat ke paras RM4.10 pada suku ketiga 2025.

“Pelabur dan peniaga dinasihatkan untuk memantau perkembangan dasar perdagangan AS dan tindak balas pasaran global dalam beberapa minggu akan datang yang mungkin turut mempengaruhi trajektori nilai mata wang serantau,” katanya.- UTUSAN

Related Articles

Tarif AS: Malaysia kekal berdaya tahan
Ekonomi

Tarif AS: Malaysia kekal berdaya tahan

PUTRAJAYA: Malaysia masih berada dalam kedudukan lebih baik berbanding negara serantau seperti...

1,000 unit Tiggo Cross sudah ditempah sejak Mei
Ekonomi

1,000 unit Tiggo Cross sudah ditempah sejak Mei

MICHAEL Chew (kiri) dan Hannah Yeoh (dua dari kanan) dalam majlis pelancaran...

Tuntutan insurans kemalangan naik 2.1 peratus suku pertama 2025
Ekonomi

Tuntutan insurans kemalangan naik 2.1 peratus suku pertama 2025

CHUA KIM SOONPETALING JAYA: Jumlah tuntutan pampasan yang dibayar oleh syarikat insurans...

OPR turun: Isi rumah ada lebihan pendapatan
Ekonomi

OPR turun: Isi rumah ada lebihan pendapatan

MPC BNM telah menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus...