PETALING JAYA: Rasionalisasi subsidi bahan api RON95 mungkin akan ditunda ke suku keempat 2025 berikutan isu-isu yang masih belum diselesaikan seperti kelayakan dan mekanisme pelaksanaan.
MIDF Amanah Investment Bank Bhd. berkata, potensi penangguhan itu ke separuh kedua 2025 dijangka memberi kelegaan sementara kepada pengguna, sekali gus menyokong perbelanjaan swasta dalam persekitaran inflasi yang stabil.
“Walaupun Kementerian Kewangan menyasarkan pelancaran pada separuh kedua 2025, kami menjangkakan pelaksanaan mungkin diteruskan ke suku keempat 2025 disebabkan isu yang tidak dapat diselesaikan seperti kelayakan dan mekanisme pelaksanaan,” katanya dalam satu nota penyelidikan
Baru-baru ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, rasionalisasi subsidi RON95 akan dilaksanakan pada separuh kedua tahun 2025.
Beliau berkata, Kementerian Kewangan akan meneruskan proses rasionalisasi subsidi, namun fokus utama pada masa ini adalah untuk mengenal pasti kumpulan yang layak menerima subsidi tersebut.
Dalam pada itu, MIDF Amanah turut menjangkakan pengguna tidak akan mengalami tekanan harga yang ketara melalui mekanisme pelepasan.
Bagaimanapun, bank pelaburan itu memberi amaran bahawa tekanan inflasi mungkin timbul pada penghujung tahun, dipacu oleh kemungkinan peningkatan tekanan harga akibat rasionalisasi subsidi serta peningkatan kos utiliti bagi perniagaan.
“Jurang antara Indeks Harga Pengeluar (IHPR) yang mengukur perubahan harga di peringkat pengeluar, dan Indeks Harga Pengguna (IHP) terus melebar, dengan IHP mencatatkan pertumbuhan sederhana sebanyak 1.4 peratus tahun ke tahun pada April 2025,” ujarnya.
Sementara itu, Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, penangguhan itu merupakan langkah baik selagi masyarakat belum menerima maklumat yang jelas mengenai kaedah pelaksanaannya.
“Subsidi petrol RON95 mempunyai saluran pasaran berbeza berbanding diesel, yang lebih mudah dikawal kerana penggunaannya dalam sektor perniagaan boleh dipantau melalui sistem ‘fleet card’ yang boleh dipohon daripada kerajaan.
“Sebaliknya, penggunaan RON95 melibatkan pasaran yang lebih meluas, contohnya setiap ahli keluarga mungkin memiliki kenderaan sendiri.
“Maka, persoalan utama yang perlu dijelaskan ialah bagaimana mekanisme pemberian subsidi ini akan dilaksanakan,” katanya.
Tambahnya, kerajaan perlu menjelaskan perkara ini kepada rakyat, termasuk menyediakan saluran maklum balas yang berkesan bagi membolehkan sebarang isu atau kesulitan yang timbul disampaikan semula kepada pihak berkuasa. – UTUSAN