Home Ekonomi Penang Port sedia tingkat kapasiti 4.1 juta unit TEU menjelang 2050
Ekonomi

Penang Port sedia tingkat kapasiti 4.1 juta unit TEU menjelang 2050

Penang Port sedia tingkat kapasiti 4.1 juta unit TEU menjelang 2050

SASEDHARAN Vasudevan pada sesi lawatan media di ibu pejabat Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) di Pulau Pinang, semalam.-UTUSAN/AMIR KHALID

BUTTERWORTH: Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB), ahli kumpulan MMC bersedia untuk meningkatkan kapasiti kontena North Butterworth Container Terminal (NBCT) sebanyak 4.1 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) menjelang 2050.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSB, Datuk Sasedharan Vasudevan berkata, pengembangan ini di bawah pelan induk yang dicadangkan selama 30 tahun dianggarkan bernilai RM2 bilion.

Beliau berkata, pembangunan yang dirancang termasuk memperluas kapasiti tapak kepada 2.9 juta TEU yang akan dilaksanakan dalam lima fasa.

“Setiap fasa akan melibatkan penambakan tanah seluas 14 hektar untuk tapak kontena, tambahan 70 hektar kepada 72.2 hektar sedia ada, manakala dermaga akan diperluas kepada 2.9 kilometer (km) dari 1.5km,” katanya kepada pemberita dalam sesi lawatan bersama media di Penang Port, di sini semalam.

Menurut Sasedharan, pembangunan kini berada di fasa pertama di mana kapasiti kontena meningkat kepada 2.3 juta dari 2.1 juta TEU. 

“Walaupun rancangan tersebut belum mendapat kelulusan kerajaan negeri, pengembangan tersebut adalah perlu untuk memenuhi pertumbuhan TEU memandangkan kedudukan Pulau Pinang dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan pelaburan langsung asing (FDI) yang diterima oleh kawasan utara.

“Tiga tahun lalu, Pulau Pinang merupakan pengeksport terbesar dan juga sangat kuat dalam sektor E&E.

“Pembuatan solar adalah salah satu yang terbesar kerana kami mempunyai tiga pemain solar utama di kawasan utara,” katanya.

Sasedharan menjelaskan, pengembangan masa depan itu untuk memenuhi keperluan yang ditetapkan dalam konsesi yang diterima daripada kerajaan.

“Kontrak konsesi kami sehingga 2055, lebih 30 tahun lagi. Jadi, sebagai sebahagian daripada konsesi, kami perlu memperluas kapasiti,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sasedharan memaklumkan, pengembangan yang dirancang juga telah mengambil kira pertumbuhan kontena dan pembangunan, termasuk zon industri yang akan datang.

“Sebagai pelabuhan terdekat, kami perlu berkembang untuk memenuhi permintaan ini. Disebabkan kami mempunyai pelbagai fasa berdasarkan permintaan yang akan datang.

“Sama ada pengembangan masa depan NBCT akan berlaku atau tidak, syarikat sudah bersedia dengan rancangan untuk memenuhi pertumbuhan perdagangan,” katanya.-UTUSAN

Related Articles

Sektor sarung tangan tempatan dijangka terkesan susulan perubahan tarif AS-China
Ekonomi

Sektor sarung tangan tempatan dijangka terkesan susulan perubahan tarif AS-China

PETALING JAYA: Sektor sarung tangan getah tempatan dijangka terjejas susulan pengurangan sementara...

STR, bantuan khas perayaan dorong peningkatan jualan RM154 bilion
Ekonomi

STR, bantuan khas perayaan dorong peningkatan jualan RM154 bilion

Orang ramai menjadikan Kompleks Sogo salah satu pusat beli belah utama untuk...

Pendekatan wilayah jamin keadilan pekebun kecil hadapi EUDR
Ekonomi

Pendekatan wilayah jamin keadilan pekebun kecil hadapi EUDR

GAMBAR HIASANPETALING JAYA: Pendekatan wilayah dilihat sebagai jalan tengah yang lebih adil...

Ringgit dijangka susut ke paras RM4.35 sedolar AS minggu ini
Ekonomi

Ringgit dijangka susut ke paras RM4.35 sedolar AS minggu ini

RINGGIT dijangka melemah pada minggu ini susulan pengukuhan nilai dolar Amerika Syarikat....