Thursday , 5 December 2024
Home Ekonomi Pelaksanaan subsidi RON95 dijangka lebih rumit
Ekonomi

Pelaksanaan subsidi RON95 dijangka lebih rumit

Pelaksanaan subsidi RON95 dijangka lebih rumit

BEBERAPA penganalisis sebelum ini mengandaikan kumpulan T15 adalah terdiri daripada isi rumah berpendapatan melebihi RM13,000 sebulan dan mereka sepatutnya tidak lagi layak menerima subsidi RON95.

PETALING JAYA: Pelaksanaan penyasaran subsidi melibatkan petrol RON95 dibimbangi akan berdepan proses yang rumit kerana melibatkan jumlah pengguna yang besar iaitu lebih daripada 20 juta, kata penganalisis.

Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, kerajaan memerlukan mekanisme untuk mengenal pasti 85 peratus golongan sasaran ini yang mungkin boleh menggunakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

Namun begitu, beliau berkata, jumlah mereka yang mendaftar dengan PADU juga masih tidak ramai.

“Sepatutnya, penyasaran ini dibuat untuk T3 atau kumpulan tiga peratus teratas kerana jumlah yang kecil kira-kira satu juta bagi memudahkan proses pelaksanaan. Laksanakan cukai untuk tiga peratus ini adalah lebih mudah daripada lebih 20 juta pengguna.

“Semasa pelaksanaan rasionalisasi diesel dahulu melibatkan 300,000, inikan pula melibatkan lebih 20 juta pengguna pasti akan berdepan lebih banyak kerumitan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sementara itu, beliau berkata, matlamat penyelarasan subsidi adalah untuk menjimatkan perbelanjaan subsidi RON95 yang bernilai RM8 bilion setahun.

“Kalau kerajaan boleh uruskan satu juta golongan T3 ini, maka tidak perlu ganggu pengguna selebihnya.

“Apa yang penting adalah untuk membanteras ketirisan dari segi penyeludupan dan warga asing dari Thailand dan Singapura daripada membeli minyak RON95 di negara ini,” ujarnya.

Tambah beliau, jika rasionalisasi ini dilaksanakan kelak, pengguna boleh menggunakan MyKad semasa membuat pembelian di stesen minyak.

“Bagi mengelakkan ada pihak yang mengambil kesempatan dan menggunakan MyKad orang lain untuk membeli minyak pula, setiap individu boleh dihadkan subsidi minyak contohnya sebanyak RM300 sahaja sebulan,” ujarnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbentangan Belanjawan 2025 Jumaat lalu memberitahu, kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun depan.

Menurutnya, kerajaan komited untuk mengekalkan subsidi untuk majoriti rakyat seperti dilaksanakan dalam penyasaran subsidi elektrik apabila 85 peratus rakyat tidak terkesan. – UTUSAN

Related Articles

Penguasaan pasaran 10 bank tempatan naik kepada 82.4% pada suku ketiga
Ekonomi

Penguasaan pasaran 10 bank tempatan naik kepada 82.4% pada suku ketiga

PETALING JAYA: Penguasaan pasaran 10 bank tempatan meningkat kepada 82.4 peratus dengan...

Nilai pembinaan cecah RM183.7 bilion, tertinggi sejak 2016
Ekonomi

Nilai pembinaan cecah RM183.7 bilion, tertinggi sejak 2016

PETALING JAYA: Penawaran kontrak daripada sektor swasta dan awam aktif dijalankan setakat...

Ekonomi

Indeks kesejahteraan rakyat meningkat 0.7 peratus pada 2023

Indeks Kesejahteraan Rakyat Malaysia (IKRM) mencatatkan peningkatan sebanyak 0.7 peratus pada 2023,...

Ekonomi

Harga EV pertama Perodua dijangka RM50,000 hingga RM90,000

Perodua bakal menawarkan kenderaan elektrik (EV) pertamanya pada harga mampu milik antara...