Home Ekonomi Pasaran buruh dinamik mampu kecilkan jurang pendapatan
Ekonomi

Pasaran buruh dinamik mampu kecilkan jurang pendapatan

Pasaran buruh dinamik mampu kecilkan jurang pendapatan

PENINGKATAN gaji minimum boleh membantu mengecilkan jurang pendapatan. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Pasaran buruh yang lebih dinamik dengan pekerja mempunyai peluang untuk meningkatkan kemahiran dan mobiliti pekerjaan boleh membantu mengecilkan jurang pendapatan.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, ini dapat dibantu melalui pembukaan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan meningkatkan pendapatan.

“MEF juga sentiasa menyokong inisiatif kerajaan berkaitan pendidikan dan latihan untuk mengurangkan jurang pendapatan.

“Kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta untuk menyediakan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang lebih mantap akan memastikan graduannya mempunyai kemahiran yang diperlukan di pasaran buruh semasa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau turut menyarankan agar kadar gaji di Malaysia diteliti dalam konteks produktiviti, daya saing perniagaan, dan keupayaan syarikat untuk lebih mampan .

“MEF berpendapat, kadar gaji hendaklah di nilai berdasarkan sumbangan pekerja kepada syarikat. Jika produktiviti tidak seiring dengan peningkatan produktiviti pekerja, kenaikan gaji untuk mengurangkan jurang pendapatan sukar dilaksanakan,” katanya.

Syed Hussain berkata, kerajaan disaran melaksanakan dasar yang holistik dan berkesan, yang mengambil kira kepentingan semua pihak, termasuk majikan sektor swasta.

“Kestabilan politik dan ekonomi adalah amat kritikal untuk menarik lebih banyak pelaburan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan yang berkualiti.

“Dasar yang diperkenalkan kerajaan untuk mengurangkan jurang pendapatan menyeluruh dan mengambil kira realiti perniagaan.

“Sebarang langkah yang terlalu drastik dan tidak dirancang dengan teliti boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, di negara-negara seperti Malaysia, golongan pertengahan juga membentuk satu bahagian besar masyarakat.

“Namun, masalah utama adalah ketidakseimbangan dalam kenaikan pendapatan tahunan antara golongan-golongan ini, terutama B40 yang sering tertinggal,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, untuk mengatasi masalah ini, kerajaan telah mengambil langkah proaktif, seperti memperkenalkan polisi gaji minimum RM1,700 dan akan melaksanakan polisi gaji progresif yang memberi manfaat kepada semua golongan pendapatan.

Selain itu, beliau berkata, pada akhir 2024, gaji kakitangan awam juga telah diselaraskan dan bayaran pencen bagi kakitangan awam serta anggota keselamatan awam masih dalam proses.

“Kenaikan kos sara hidup yang tinggi selepas inflasi pasca-pandemik Covid-19 turut memberi kesan kepada pendapatan rakyat dan perniagaan.

“Dalam ekonomi kapitalis, kadar faedah digunakan sebagai salah satu alat dasar monetari untuk mengawal inflasi, namun ia bukan penyelesaian lengkap kerana terdapat pelbagai faktor lain yang mempengaruhi ekonomi negara,” ujarnya. – UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

Ringgit tinggi berbanding dolar selepas FOMC cenderung turunkan kadar faedah

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 20 Mac-Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS)...

YTL AI Cloud menjadi penguna awal NVIDIA Blackwell Ultra
Ekonomi

YTL AI Cloud menjadi penguna awal NVIDIA Blackwell Ultra

PETALING JAYA: YTL AI Cloud, anak syarikat milik penuh YTL Power International,...

IOI City Mall jimat RM5.4j juta setahun dengan pemasangan panel solar
Ekonomi

IOI City Mall jimat RM5.4j juta setahun dengan pemasangan panel solar

GAMBAR HIASANPETALING JAYA: IOI City Mall, pusat beli-belah terbesar di Malaysia di...

Pasaran rumah sewa cecah paras tertinggi lima tahun
Ekonomi

Pasaran rumah sewa cecah paras tertinggi lima tahun

SEWA Kuala Lumpur stabil pada RM2,847 selepas tempoh yang tidak menentu.PETALING JAYA: ...