Saturday , 8 February 2025
Home Ekonomi OPR kekal pada 3.0 peratus lebih setahun
Ekonomi

OPR kekal pada 3.0 peratus lebih setahun

OPR kekal pada 3.0 peratus lebih setahun

KALI terakhir BNM menaikkan OPR adalah daripada 2.75 peratus kepada 3.0 peratus pada Mei tahun lalu.

PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus pada mesyuarat keenam Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) untuk 2024, semalam.

Bank pusat itu dalam kenyataannya berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan adalah konsisten dengan penilaian semasa tentang prospek inflasi dan pertumbuhan. 

“MPC terus memantau perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian trajektori inflasi dan trajektori pertumbuhan dalam negeri menuju tahun 2025. 

“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya.

Kali terakhir BNM menaikkan OPR adalah daripada 2.75 peratus kepada 3.0 peratus pada Mei tahun lalu.

Mesyuarat ini juga meluluskan jadual mesyuarat MPC untuk tahun 2025 dan selaras dengan Akta Bank Negara Malaysia 2009, mesyuarat MPC akan diadakan sebanyak enam kali pada tahun 2025. 

Katanya, pernyataan dasar monetari akan diumumkan pada pukul 3.00 petang selepas setiap mesyuarat MPC

BNM berkata, penunjuk terkini mencatatkan kegiatan ekonomi Malaysia yang terus kukuh, didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan aktiviti eksport yang lebih tinggi. 

“Pada masa hadapan, eksport dijangka terus disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global, eksport barangan bukan elektrik dan elektronik (E&E) yang terus kukuh dan perbelanjaan pelancong yang lebih tinggi.

“Pertumbuhan guna tenaga dan upah berserta langkah-langkah dasar terus menyokong perbelanjaan isi rumah. 

“Aktiviti pelaburan yang mantap akan terus berkembang disebabkan oleh projek berbilang tahun yang dilaksanakan dalam sektor swasta dan awam, lebih banyak pelaksanaan pelaburan yang telah diluluskan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional,” ujarnya. 

Tambahnya, langkah-langkah Belanjawan 2025 akan memberikan sokongan tambahan kepada pertumbuhan ekonomi. 

“Prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan. 

“Sementara itu, pertumbuhan mungkin menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada limpahan peningkatan kitaran teknologi yang lebih besar, aktiviti pelancongan yang lebih giat serta pelaksanaan projek pelaburan yang lebih pantas,” jelasnya.-UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

Niaga hadapan KLIBOR kekal lengang minggu depan

Foto HiasanKUALA LUMPUR, 8 Februari- Kontrak niaga hadapan Kadar Tawaran Antara Bank...

Ekonomi

Niaga hadapan emas dijangka didagangkan lebih tinggi minggu depan

Foto FailKUALA LUMPUR, 8 Februari– Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif...

Harga simen meningkat hingga 2.9 peratus pada Januari
Ekonomi

Harga simen meningkat hingga 2.9 peratus pada Januari

Kenaikan harga simen membimbangkan kontraktor yang mungkin menaikkan upah pembinaan bagi menampung...

Ekonomi

Nilai jualan sektor pembuatan 2024 cecah RM1.9 trilion, naik 4.6%

KUALA LUMPUR, 7 Februari – Nilai jualan sektor pembuatan bagi 2024 mencapai...