Home Ekonomi Kuala Lumpur catat pertumbuhan sewa tertinggi untuk gudang di Asia Tenggara
Ekonomi

Kuala Lumpur catat pertumbuhan sewa tertinggi untuk gudang di Asia Tenggara

Kuala Lumpur catat pertumbuhan sewa tertinggi untuk gudang di Asia Tenggara

KUALA Lumpur mencatatkan pertumbuhan sewa gudang tertinggi di Asia Tenggara. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Kuala Lumpur mencatatkan pertumbuhan sewa tertinggi untuk gudang dan kemudahan pembuatan dalam kalangan bandar utama Asia Tenggara, menurut Knight Frank.

Perunding hartanah bebas global itu berkata, bandar raya ini menduduki tempat teratas di Asia Tenggara dan ketiga di rantau Asia Pasifik, merekodkan pertumbuhan sewa separuh tahunan tertinggi sebanyak 5 peratus pada separuh kedua 2024 berbanding tempoh yang sama pada 2023, walaupun terdapat penurunan yang lebih luas di peringkat serantau.

Di rantau Asia Pasifik, Melbourne mencatatkan pertumbuhan sewa tertinggi iaitu 6.7 peratus, diikuti Brisbane dengan 6.6 peratus.

Dalam kalangan kawasan metropolitan Asia Tenggara, Jakarta mencatatkan pertumbuhan sewa sebanyak 3.8 peratus, diikuti wilayah ekonomi utama selatan Vietnam dengan peningkatan 1.7 peratus, Manila dengan 1.6 peratus, Bangkok dengan 1.3 peratus, manakala pertumbuhan sewa Singapura tidak berubah.

Pengarah Eksekutif Kanan Knight Frank Malaysia bagi Penyelesaian Tanah dan Industri, Allan Sim berkata, pasaran industri di Kuala Lumpur terus mengalami pertumbuhan yang stabil, didorong oleh permintaan dari pengeluar asing untuk gudang dan kemudahan pembuatan.

“Permintaan untuk gudang dan kilang di Kuala Lumpur juga datang daripada penyepaduan kecerdasan buatan dan automasi di hartanah tersebut yang memenuhi keperluan perniagaan asing yang berkembang,” katanya dalam Laporan Sorotan Logistik Asia Pasifik Knight Frank untuk separuh kedua 2024.

Sementara itu, Pengarah Urusan Knight Frank Malaysia, Keith Ooi berkata, walaupun negara perlu berhati-hati dengan ketegangan perdagangan, lokasi strategik di Asia Tenggara dan pelaburan berterusan dalam kemudahan telah memberikan asas yang kukuh untuk pertumbuhan.

“Ketika perniagaan terus mempelbagaikan operasi mereka dalam menghadapi dinamik global yang berubah, kami menjangkakan permintaan berterusan untuk ruang pembuatan dan logistik berkualiti tinggi, terutamanya daripada syarikat multinasional yang ingin mengoptimumkan rantaian bekalan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Penyelidikan Asia Pasifik di Knight Frank, Christine Li berkata, trend mengutamakan kualiti akan terus meningkatkan permintaan ruang logistik baharu di rantau ini, kerana penyewa terus merancang untuk mengatasi masalah yang mungkin timbul dalam rantaian bekalan dan memanfaatkan teknologi untuk memperbaiki operasi mereka.

“Sumber utama permintaan datang daripada industri berkembang pesat seperti kenderaan elektrik dan elektronik, di mana keperluan untuk rantaian bekalan khusus akan mengubah landskap perdagangan dan logistik rantau ini,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Malaysia mendahului IPO di ASEAN
Ekonomi

Malaysia mendahului IPO di ASEAN

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (kanan) dan Fad’l Mohamed...

Synvista labur AS juta untuk kilang penyimpanan tenaga bateri di Kuala Selangor
Ekonomi

Synvista labur AS$50 juta untuk kilang penyimpanan tenaga bateri di Kuala Selangor

PETER Phang ketika ditemui pemberita selepas SynVista Energy Storage Full Lifecycle Summit...

E-Invois fasa 3 sasar pembayar cukai dengan hasil RM5j – RM25j
Ekonomi

E-Invois fasa 3 sasar pembayar cukai dengan hasil RM5j – RM25j

SHAHARRUDY Othman (tengah) ketika merasmikan Pelancaran Pelaksanaan e-Invois bagi Pembayar Cukai Fasa...

PKNPk, PoABI mengulangi komitmen terhadap inisiatif LuMIC 
Ekonomi

PKNPk, PoABI mengulangi komitmen terhadap inisiatif LuMIC 

REDZA Rafiq Abdul Razak (kiri) bersama PHILIPPE Marcel H. Droesbeke (dua dari...