PETALING JAYA: Kadar pengangguran Malaysia pada Disember 2024 mencecah kadar terendah sejak hampir 10 tahun iaitu 3.1 peratus dengan 544,300 penganggur, kata Jabatan Perangkaan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, menjelang penghujung 2024, ekonomi Malaysia menunjukkan daya tahan dan pertumbuhan yang kukuh, sekali gus membantu perkembangan guna tenaga dan bilangan penganggur terus berkurang.
“Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada Disember 2024 kekal berada pada trend menaik dengan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 17.32 juta orang berbanding 17.29 juta orang pada November.
“Ini sekali gus merekodkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi iaitu 70.6 peratus berbanding 70.5 peratus pada bulan yang lalu,” katanya dalam kenyataan.
Dari segi sektor ekonomi, Mohd. Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan meningkat dengan stabil, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; kesenian, hiburan dan rekreasi serta penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman.
Ujarnya, sektor pembuatan, pembinaan dan pertanian juga mencatatkan pertumbuhan guna tenaga yang positif, manakala guna tenaga dalam sektor perlombongan dan pengkuarian berkurang pada bulan tersebut.
“Kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 10.3 peratus, merekodkan 299,700 penganggur belia pada bulan Disember 2024 (November 2024: 10.4 peratus; 300,600 orang),” jelasnya.
“Selain itu, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun turun 0.1 mata peratus kepada 6.1 peratus, dengan 410,800 penganggur belia berbanding bulan sebelumnya (November 2024: 6.2 peratus; 415,600 orang),” katanya.
“Dari segi kadar pengangguran dan KPTB mengikut negeri, beliau berkata, Selangor dan Kedah merekodkan kadar pengangguran terendah iaitu pada 1.7 peratus pada suku tahun keempat 2024, diikuti oleh Melaka (1.8 peratus), Johor dan Pulau Pinang (2.2 peratus).
“Sementara itu, sembilan negeri mencatatkan peningkatan dalam KPTB, menunjukkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran. Selangor merekodkan KPTB yang tertinggi iaitu pada 76.4 peratus, diikuti oleh Kuala Lumpur (74.9 peratus) dan Pulau Pinang (73.2 peratus),” katanya.
Beliau berkata, bilangan penduduk bekerja pada Disember 2024 terus menunjukkan trend positif, mencecah seramai 16.78 juta orang dengan peningkatan sebanyak 0.2 peratus berbanding 16.75 juta orang pada November 2024.
“Bilangan penganggur pada bulan tersebut turun sebanyak 0.4 peratus daripada 546,700 orang pada November 2024 kepada 544,300 orang.
“Ini menunjukkan kadar pengangguran pada Disember menurun kepada 3.1 peratus, merekodkan kadar terendah dalam tempoh hampir satu dekad. Kali terakhir mencatatkan peratusan sama adalah pada Mei 2015.
“Pada Disember 2024, kategori pekerja yang mewakili 74.9 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk bekerja, menunjukkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.56 juta orang (November 2024: 12.54 juta orang).
“Kategori penduduk bekerja sendiri juga berada pada trend menaik, dengan peningkatan sebanyak 0.4 peratus kepada 3.12 juta orang berbanding 3.11 juta orang pada November 2024,” ujarnya. – UTUSAN