Home Ekonomi Johor optimis catat nilai pelaburan lebih RM50 bilion akhir tahun ini
Ekonomi

Johor optimis catat nilai pelaburan lebih RM50 bilion akhir tahun ini

Johor optimis catat nilai pelaburan lebih RM50 bilion akhir tahun ini

ONN HAFIZ GHAZI – Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Johor optimis mencatat nilai pelaburan (FDI) melebihi RM50 bilion menjelang akhir tahun ini, sekali gus mengatasi rekod RM48.5 bilion yang diraih tahun lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, keyakinan itu didorong oleh daya tarikan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang semakin menyerlah sebagai pemacu utama pelaburan dan transformasi ekonomi negeri.

Katanya, JS-SEZ bukan sekadar konsep atas kertas, sebaliknya telah terbukti menjadi enjin penarik pelaburan yang meyakinkan. Keyakinan pelabur terhadap masa depan Johor semakin kukuh.

“Selain itu, Johor telah merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM27.4 bilion bagi suku pertama 2025, berbanding tempoh sembilan bulan pertama tahun lalu untuk mencapai jumlah yang sama.

“Johor kini turut memiliki potensi pelaburan tambahan sebanyak RM23 bilion yang dijangka dimuktamadkan menjelang akhir suku ini.

“Jika momentum ini berterusan, saya percaya Johor mampu mencapai pelaburan antara RM50 bilion hingga RM60 bilion tahun ini, sekali gus meletakkan negeri ini dalam kelompok tiga teratas destinasi pelaburan utama negara.

“Saya yakin Johor boleh menyaingi Lembah Klang dalam dekad akan datang,” katanya pada Dialog Rakan Strategik JS-SEZ: Memperkasa Pemudahcara di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, kejayaan menarik pelaburan bukan hanya bergantung kepada peluang sedia ada, sebaliknya turut dipacu oleh sistem pemudahcara yang cekap dan strategik.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta agensi berkaitan melancarkan Pusat Pemudahcara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) pada Februari lalu.

“Inisiatif perintis ini merupakan pusat sehenti yang dikendalikan bersama oleh Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Invest Johor dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), bagi mempercepatkan proses pelaburan dalam kawasan JS-SEZ.

“Sehingga kini, IMFC-J telah menerima lebih 300 pertanyaan pelabur, termasuk 100 daripadanya khusus berkaitan Zon Kewangan Khas Forest City,” katanya.

Tambahnya, lima projek pelaburan utama dengan nilai komitmen RM16.5 bilion telah difasilitasi sepenuhnya oleh IMFC-J, dengan tempoh proses diluluskan dipendekkan daripada tiga bulan kepada antara satu hingga 35 hari sahaja.

“Ketika ini juga, rundingan sedang giat dijalankan dengan 47 pelabur dari Singapura, China dan Korea Selatan melibatkan potensi pelaburan bernilai RM40.1 bilion.

“IMFC-J bukan hanya menerima minat, tetapi memastikan minat tersebut diterjemahkan kepada pelaburan sebenar dan inilah yang sedang dicapai sekarang,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Untung bersih JPG naik kepada RM75.9j pada suku pertama
Ekonomi

Untung bersih JPG naik kepada RM75.9j pada suku pertama

LEMBAGA Pengarah JPG telah mengisytiharkan dividen interim sebanyak 1.00 sen sesaham bagi...

Bursa Malaysia ditutup negatif, turun 15.61 mata
Ekonomi

Bursa Malaysia ditutup negatif, turun 15.61 mata

PETALING JAYA: Bursa Malaysia ditutup negatif pada 1,556.14 hari ini, susut 15.61...

PNB bayar agihan pendapatan RM14.5 bilion tahun lalu
Ekonomi

PNB bayar agihan pendapatan RM14.5 bilion tahun lalu

TAN SRI RAJA ARSHAD RAJA TUN UDAPETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB)...

Enam panduan jimat ketika guna pengangkutan awam 
Ekonomi

Enam panduan jimat ketika guna pengangkutan awam 

PENGANGKUTAN awam boleh menjadikan pilihan yang lebih ekonomi dan menjimatkan masa kepada...