Home Ekonomi ISP terbit program sukuk wakalah ABS lestari pertama bernilai RM2b
Ekonomi

ISP terbit program sukuk wakalah ABS lestari pertama bernilai RM2b

ISP terbit program sukuk wakalah ABS lestari pertama bernilai RM2b

Kumpulan Syarikat ISP menerbitkan Program Sukuk Wakalah berasaskan Sekuriti Disokong Aset (ABS) bernilai RM2 bilion.

PETALING JAYA: Kumpulan Syarikat ISP, sebuah syarikat hartanah yang pakar dalam gudang logistik dan hab pembuatan (LWMH) serta penginapan khas pekerja (PBWA) menerbitkan Program Sukuk Wakalah berasaskan Sekuriti Disokong Aset (ABS) bernilai RM2 bilion dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Inisiatif perintis ini merupakan Program Sukuk Wakalah ABS Perindustrian Lestari pertama di Malaysia, sekali gus menjadi penanda aras baharu dalam pembiayaan Islam lestari sektor hartanah yang melibatkan gudang logistik, hab pembuatan dan penginapan pekerja.

ISP berkata, Program Sukuk Wakalah ABS RM2 bilion ini akan dilaksanakan melalui Visionary Heritage Berhad (VHB) yang ditubuhkan khas di Malaysia untuk menjayakan program ini.

Hasil daripada Program Sukuk Wakalah ABS ini akan menyokong inisiatif strategik Kumpulan ISP, termasuk memperluaskan pengaruhnya dalam segmen LWMH dan PBWA, memacu inovasi serta penerapan teknologi dalam bidang ini dan menyokong program berfokuskan komuniti untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan ISP Holding Sdn. Bhd., Eric Ng berkata, pelancaran program sukuk wakalah ini adalah satu pencapaian transformatif dalam perjalanan syarikat sebagai pakar LWMH dan PBWA.

Katanya, program ini memaparkan komitmen kumpulan terhadap pembiayaan beretika dan pembangunan lestari, menyediakan kerangka kewangan kukuh bagi mencapai matlamat strategiknya.

“Ia juga membolehkan kami berada dekat dengan pelabur yang mempunyai visi yang sama untuk mencipta impak bermakna dan berkekalan kepada masyarakat secara keseluruhan.

“Kami menyokong sepenuhnya langkah kerajaan untuk memperkenalkan sistem penarafan bintang bagi taman perindustrian pada tahun 2025.

“Kami percaya Kumpulan ISP dapat memberi sumbangan positif dalam meningkatkan standard taman perindustrian di mana aset kami berada, khususnya dari segi infrastruktur dan metrik kelestarian,” katanya dalam kenyataan.

ISP Holding Sdn Bhd merupakan penaja program ini, dengan CIMB Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama tunggal, penyusun utama tunggal, pengurus utama dan penyelaras struktur kelestarian. 

CIMB Islamic Bank Berhad pula bertindak sebagai penasihat syariah bagi program ini, memberikan nasihat berkaitan perkara syariah.

Sementara itu, Tetuan Lee Choon Wan & Co. berperanan sebagai penasihat undang-undang kepada pihak penasihat utama tunggal, penyusun utama tunggal dan pengurus utama serta menyediakan sokongan undang-undang penting bagi melancarkan pelaksanaan program ini.

Program Sukuk Wakalah ABS ini adalah program nota jangka sederhana Islam berasaskan aset perindustrian dalam pelbagai mata wang, berpandukan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.-UTUSAN

Related Articles

Jumlah pelaburan Ekuinas meningkat kepada RM4.9 bilion
Ekonomi

Jumlah pelaburan Ekuinas meningkat kepada RM4.9 bilion

PETALING JAYA: Jumlah pelaburan komited Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) bagi tahun kewangan...

Malaysia masih bergantung tinggi kepada import makanan
Ekonomi

Malaysia masih bergantung tinggi kepada import makanan

FADILLAH Yusof semasa ucaptama di Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024...

ASEAN mampu jana RM1.27 bilion hasil agenda hijau
Ekonomi

ASEAN mampu jana RM1.27 bilion hasil agenda hijau

TENGKU ZAFRUL ABDUL AZIZKUALA LUMPUR: ASEAN boleh menjana tambahan AS$300 bilion (RM1.27...

Rasionalisasi subsidi RON95 jangka ditunda ke suku keempat
Ekonomi

Rasionalisasi subsidi RON95 jangka ditunda ke suku keempat

GAMBAR HIASANPETALING JAYA: Rasionalisasi subsidi bahan api RON95 mungkin akan ditunda ke...