Home Ekonomi Harga minyak sawit mentah dijangka stabil melebihi RM4,000 satu tan
Ekonomi

Harga minyak sawit mentah dijangka stabil melebihi RM4,000 satu tan

Harga minyak sawit mentah dijangka stabil melebihi RM4,000 satu tan

PETALING JAYA: Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal stabil di atas RM4,000 per tan dan tidak menjejaskan pendapatan pekebun kecil, meskipun Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif sebanyak 24 peratus terhadap produk Malaysia menerusi mekanisme tarif balas.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, walaupun tarif timbal balik tinggi oleh AS boleh mengurangkan permintaan minyak sawit di negara tersebut, penurunan ini dijangka dapat diimbangi oleh permintaan dari negara lain seperti China dan India.

“Negara mengeksport lebih 80 peratus daripada pengeluaran minyak sawitnya, menjadikan harga MSM sensitif kepada faktor luaran seperti dasar percukaian, spekulasi pasaran global, serta perubahan penawaran dan permintaan.

“Namun, harga MSM kini melebihi RM4,000 per tan, dipengaruhi oleh permintaan yang lebih tinggi.

“Oleh itu, harga MSM dijangka kekal stabil di atas RM4,000, selagi Malaysia dan Indonesia tidak meningkatkan pengeluaran serta sekali gus ia tidak akan menjejaskan pendapatan pekebun kecil,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelasnya, tarif tersebut dipercayai berpunca daripada penilaian menyeluruh pentadbiran AS terhadap akses pasaran Malaysia secara keseluruhan, termasuk tarif sedia ada, sekatan bukan tarif dan faktor perdagangan lain.

“AS menyatakan angka ‘sekatan’ sebanyak 47 peratus sebagai sebahagian daripada pendekatan penanda aras dalaman mereka.

“Namun begitu, Malaysia masih berada pada kedudukan lebih baik berbanding Indonesia dan Thailand yang masing-masing dikenakan tarif lebih tinggi, iaitu 32 peratus dan 36 peratus.

“Cabaran lebih besar datang daripada keperluan bersaing dengan minyak kacang soya (SBO) keluaran AS sendiri yang mempunyai kos pengeluaran lebih rendah dan kelebihan dari segi infrastruktur tempatan.

“Jurang harga antara minyak sawit dan SBO dijangka melebar dan ini boleh menyebabkan pembeli yang sensitif terhadap harga memilih alternatif lebih murah, sekali gus menekan margin keuntungan pengeluar Malaysia dan mengurangkan permintaan terhadap minyak sawit tempatan,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, minyak sawit masih diperlukan oleh beberapa industri utama di AS seperti roti, konfeksi, penjagaan diri dan aplikasi industri kerana sifat uniknya yang sukar diganti.

“Justeru, walaupun berdepan tarif baharu, minyak sawit Malaysia kekal relevan.

“MPOB juga menyambut baik keputusan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) untuk meneruskan rundingan serta tidak mengambil tindakan balas terhadap AS,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Ringgit dijangka terus mengukuh, potensi cecah paras RM4.15 hingga RM4.20
Ekonomi

Ringgit dijangka terus mengukuh, potensi cecah paras RM4.15 hingga RM4.20

PETALING JAYA: Ringgit dijangka terus mengukuh dalam masa terdekat, berpotensi mencecah antara...

Tarif AS: Malaysia kekal berdaya tahan
Ekonomi

Tarif AS: Malaysia kekal berdaya tahan

PUTRAJAYA: Malaysia masih berada dalam kedudukan lebih baik berbanding negara serantau seperti...

1,000 unit Tiggo Cross sudah ditempah sejak Mei
Ekonomi

1,000 unit Tiggo Cross sudah ditempah sejak Mei

MICHAEL Chew (kiri) dan Hannah Yeoh (dua dari kanan) dalam majlis pelancaran...

Tuntutan insurans kemalangan naik 2.1 peratus suku pertama 2025
Ekonomi

Tuntutan insurans kemalangan naik 2.1 peratus suku pertama 2025

CHUA KIM SOONPETALING JAYA: Jumlah tuntutan pampasan yang dibayar oleh syarikat insurans...