Home Ekonomi Forum MPOC jana potensi perdagangan RM122 juta di Filipina
Ekonomi

Forum MPOC jana potensi perdagangan RM122 juta di Filipina

Forum MPOC jana potensi perdagangan RM122 juta di Filipina

PETALING JAYA: Forum Minyak Sawit Malaysia (MPOF) Filipina 2025 yang dianjurkan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berjaya menjana potensi perdagangan kira-kira RM122 juta hasil daripada 121 sesi mesyuarat perniagaan yang diadakan di Manila, Filipina.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Belvinder Sron berkata, sesi pertemuan bersemuka tersebut dijalankan menerusi platform BizMatch yang mempertemukan 16 pembekal minyak sawit Malaysia dengan pembeli dari Filipina.

“Platform BizMatch terus menjadi alat berkesan dalam mewujudkan peluang komersial sebenar bagi pengeksport Malaysia. Ia turut membantu pembeli mendapatkan pembekal yang boleh dipercayai, berkualiti tinggi serta komited kepada kemampanan dan nilai.

“Kami juga teruja dengan tahap minat yang tinggi ditunjukkan oleh pembeli dari Filipina,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, Filipina merupakan pasaran pertumbuhan penting di bawah pelan hala tuju lima tahun MPOC dalam usaha mengembangkan eksport minyak sawit Malaysia ke luar pasaran tradisional.

“Filipina juga kekal sebagai antara rakan dagang terpenting Malaysia di rantau ASEAN. 

Pada 2024, negara itu mengimport kira-kira 1.1 juta tan minyak sawit, dengan Malaysia menyumbang sebanyak 61 peratus daripada jumlah tersebut sekali gus mengekalkan kedudukan sebagai pembekal utama,” katanya.

Menurutnya, strategi yang memberi tumpuan kepada ASEAN, Afrika dan Asia Barat membuahkan hasil apabila eksport ke rantau berkenaan meningkat sebanyak 24 peratus, iaitu daripada enam juta tan pada 2020 kepada 7.5 juta tan pada 2024.

“Ini menandakan perubahan signifikan dalam landskap eksport negara,” ujarnya. 

Buat julung kalinya, MPOC turut bekerjasama dengan Kumpulan Pengeluar Oleokimia Malaysia (MOMG) dan Persatuan Kelapa Bersatu Filipina (UCAP) dalam penganjuran forum berkenaan yang menghimpunkan pemain utama sektor minyak dan lemak serantau.

Forum tersebut turut menarik penyertaan lebih 400 peserta, termasuk pemegang taruh industri dari Malaysia dan Filipina.

Acara yang berlangsung pada 3 hingga 4 Jun 2025 itu memperkukuh komitmen Malaysia dalam mempererat hubungan perdagangan serta mempromosi manfaat minyak sawit mampan di rantau ASEAN.-UTUSAN

Related Articles

Gas Malaysia beri bantuan mangsa letupan Putra Heights
Ekonomi

Gas Malaysia beri bantuan mangsa letupan Putra Heights

MOHAMAD Farid Ghazali (kiri) menyampaikan replika cek sumbangan kepada Haniff Zainal Abidin...

Proton X50 baharu diperkenalkan pada media
Ekonomi

Proton X50 baharu diperkenalkan pada media

PROTON X50 baharu.PETALING JAYA: Proton Holdings Berhad (Proton) memperkenalkan Proton X50 terbaharu...

Kerajaan timbang undang-undang khusus kawal selia AI – Gobind
Ekonomi

Kerajaan timbang undang-undang khusus kawal selia AI – Gobind

GOBIND SINGH DEOKUALA LUMPUR: Kerajaan dalam proses meneliti keperluan untuk menggubal undang-undang...

Takaful Ikhlas perluas akses takaful kepada pekerja Prasarana
Ekonomi

Takaful Ikhlas perluas akses takaful kepada pekerja Prasarana

WAN Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi (dua kanan) bergambar bersama wakil-wakil syarikat...