Home Ekonomi Belanjawan 2025 dijangka bantu kukuh nilai ringgit
Ekonomi

Belanjawan 2025 dijangka bantu kukuh nilai ringgit

Belanjawan 2025 dijangka bantu kukuh nilai ringgit

GAMBAR hiasan

PETALING JAYA: Belanjawan 2025 dijangka akan membantu meningkatkan nilai mata wang tempatan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) apabila diumumkan hari ini, didorong oleh ramalan pengumuman yang menyokong pertumbuhan ekonomi, kata penganalisis.

Pada pukul 9 pagi semalam, ringgit menyusut kepada 4.2970/3030 berbanding dolar AS daripada 4.2900/2960 ketika ditutup pada Rabu.

Mata wang tempatan kemudian terus meleset apabila ditutup pada 4.3100/3160.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit juga dijangka bergerak mendatar sekitar RM4.29 hingga RM4.30 berbanding dolar AS, dengan paras rintangan pada RM4.31 dan paras sokongan pada RM4.21. 

Katanya, analisis teknikal menunjukkan nilai ringgit cenderung berada pada paras rintangan disebabkan faktor kadar faedah AS.

“Menjelang Belanjawan 2025 juga pelabur dan pedagang sedang memantau momentum konsolidasi fiskal yang akan dilaksanakan oleh kerajaan. 

“Mereka menjangkakan defisit fiskal akan terus mengecil. Langkah-langkah seperti rasionalisasi subsidi RON95 dan pengumuman langkah-langkah berkaitan cukai dijangka akan membantu mengurangkan defisit ini.

“Ini diharapkan dapat memberi kesan positif kepada ringgit kerana konsolidasi fiskal akan mengukuhkan kewangan kerajaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas Afzanizam, penilaian yang lebih baik oleh agensi penarafan kredit seperti S&P Global Ratings, Moody’s, dan Fitch Rating juga akan menarik lebih banyak minat pelabur asing terhadap pasaran modal Malaysia, termasuk pasaran bon dan saham.

“Selain itu, dalam konteks kadar faedah di rantau Asia, beberapa bank pusat seperti di Filipina, Indonesia dan Thailand telah menurunkan kadar faedah mereka. 

“Namun, Bank Negara Malaysia (BNM) cenderung mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR), yang boleh memberi impak positif kepada ringgit kerana pendekatan berhati-hati dalam menguruskan risiko inflasi,” ujarnya.

Mengulas mengenai pasaran saham, beliau berkata, isu di sektor luaran, terutamanya sektor teknologi, menjadi fokus utama. 

“Sekatan eksport yang berkaitan dengan keselamatan negara boleh menjejaskan pendapatan syarikat-syarikat teknologi, yang seterusnya mempengaruhi sentimen pasaran. 

“Bagaimanapun, Belanjawan 2025 juga akan diperhatikan dari aspek perbelanjaan pembangunan dan sasaran ekonomi tahun depan, yang berpotensi menjadi pemangkin positif untuk sentimen pasaran saham,” katanya.-UTUSAN

Related Articles

Tabung Haji dijangka umum kadar dividen lebih kompetitif
Ekonomi

Tabung Haji dijangka umum kadar dividen lebih kompetitif

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji dijangka mampu mengumumkan kadar dividen yang kompetitif...

Pasaran hartanah dijangka berkembang positif pada kadar perlahan
Ekonomi

Pasaran hartanah dijangka berkembang positif pada kadar perlahan

PROSPEK sektor hartanah terus disokong oleh statistik yang lebih baik termasuk jumlah...

AEON Bank perkenal PF-i patuh syariah, 100 peratus digital
Ekonomi

AEON Bank perkenal PF-i patuh syariah, 100 peratus digital

PETALING JAYA: AEON Bank (M) Berhad (AEON Bank) mengumumkan pelancaran Pembiayaan Peribadi-i...

Ekonomi

Ketakutan ketinggalan punca belia berbelanja berlebihan

Sikap ingin memiliki sesuatu dengan segera dan takut ketinggalan menjadi faktor utama...