Home Ekonomi Bank Muamalat, AmanahRaya sasar 15,000 pemegang kad kredit-i Visa Platinum
Ekonomi

Bank Muamalat, AmanahRaya sasar 15,000 pemegang kad kredit-i Visa Platinum

Bank Muamalat, AmanahRaya sasar 15,000 pemegang kad kredit-i Visa Platinum

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin diringi oleh Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan (kanan) merasmikan Kad, Kredit-i Visa Platinum Jenama Bersama Bank Muamalat dan Amanah Raya di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/AMIR KHALID

KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) dan Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) menyasarkan meraih 15,000 pemegang kad kredit-i Visa Platinum jenama bersamanya yang baru dilancarkan untuk tahun pertama. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, kad kredit patuh syariah dan direka khas bagi menawarkan perkhidmatan kewangan komprehensif untuk menggalakkan pemegangnya memulakan perancangan harta bagi memelihara masa hadapan mereka nanti.

Katanya, golongan sasaran adalah individu  berumur 25 tahun ke atas, mereka yang berkeluarga dan merancang untuk masa depan mereka. 

“Melalui kerjasama dengan AmanahRaya ini, kami menyediakan instrumen kepada pemilik harta yang membolehkan perancangan kewangan jangka panjang, menyokong komuniti dalam membina kehidupan lebih baik bersama.

‘Dengan menyediakan kemudahan kredit untuk melaksanakan perancangan pewarisan melalui AmanahRaya, kami berharap lebih ramai individu tampil melibatkan diri dalam perancangan harta pusaka, sekali gus mengurangkan kesulitan pengurusan pusaka dan memupuk kestabilan ekonomi. 

“Kami menyedari bahawa pengurusan harta yang betul boleh meminimumkan cabaran ekonomi, perundangan dan sosial serta kami berharap dapat membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk mengambil langkah proaktif dalam merancang untuk generasi akan datang,” katanya pada majlis pelancaran kad kredit-i tersebut di sini, semalam. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan berkata, sebagai peneraju utama dalam industri perancangan pewarisan di Malaysia, AmanahRaya sentiasa memainkan peranan penting dalam menyokong dan merealisasikan aspirasi ini menerusi perkhidmatan yang kami tawarkan kepada masyarakat.

“Perkhidmatan perancangan pewarisan bukan sahaja memenuhi keperluan kewangan pelanggan, malah memberikan mereka ketenangan fikiran dengan perancangan awal kerana harta mereka bakal diuruskan oleh AmanhRaya.

“Sebagai contoh, perkhidmatan penulisan wasiat kami membantu masyarakat merancang agihan harta mereka dengan sistematik dan adil, sejajar dengan prinsip keadilan sosial yang ditekankan dalam konsep Malaysia Madani. 

“Ini membuktikan bahawa AmanahRaya turut menyokong pembentukan masyarakat yang harmoni dan sejahtera, bukan sekadar menawarkan produk untuk keuntungan semata-mata,” ujarnya.

Melalui kerjasama strategik dua entiti tersebut, kad kredit inovatif itu membolehkan pelanggan dan bakal pelanggan AmanahRaya mendapatkan khidmat mereka dengan pembayaran ansuran menggunakan kad kredit, di samping menikmati pelbagai keistimewaan lain.

Kad kredit inovatif ini menawarkan pelbagai manfaat yang disesuaikan bagi menyokong pemilik harta, ia termasuk pengecualian yuran tahunan tahun pertama, rebat tunai sebanyak 0.5 peratus, pelan pemindahan baki, perlindungan takaful percuma pada baki tertunggak kad kredit-i dan perlindungan takaful percuma bagi kemalangan perjalanan. – UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

STR, SARA bantu rakyat tangani kos sara hidup

Foto LivevarthaKUALA LUMPUR, 5 Februari- Hampir RM13 bilion diperuntukkan kerajaan, bagi inisiatif...

Ekonomi

Khazanah catat keuntungan operasi RM5.1 bilion pada 2024

Foto FB Khazanah Nasional BerhadKUALA LUMPUR, 5 Februari- Khazanah Nasional Berhad (Khazanah)...

Ekonomi

MITI pinda kadar duti antilambakan bagi dawai keluli dari China

Foto HiasanKUALA LUMPUR, 5 Februari – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)...

Ekonomi

Penangguhan kenaikan tarif AS bantu ringgit ditutup lebih tinggi berbanding dolar AS

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 4 Februari– Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS hari...